PETALING JAYA 4 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu saman Utusan Malaysia dan TV3 RM200 juta jika enggan membuat permohonan maaf berhubung laporan mengaitkan Ketua Umum KEADILAN itu dalam isu pencerobohan Lahad Datu, Sabah.
Ia dinyatakan dalam notis tuntutan yang dihantar firma Daim & Gamany, mewakili Anwar hari ini.
Laporan Utusan pada muka hadapannya bertarikh 2 Mac bertajuk ‘Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?’. Satu lagi laporan di muka 10 akhbar itu bertajuk ‘Tiga kumpulan jadi dalang.
TV3 juga menggunakan istilah dalang mengaitkan Anwar dalam insiden tersebut.
Anwar menuntut kedua-dua media itu menarik balik tuduhan tersebut, memohon maaf secara terbuka dan ganti rugi, masing-masing sebanyak RM100 juta.
“Pagi tadi kami menghantar surat tuntutan terhadapUtusan dan TV3 ekoran fitnah mereka menyatakan Anwar adalah dalang insiden Lahad Datu.
“Ini kenyataan jahat dan tidak berasas dan oleh itu kita mulakan proses saman terhadap mereka,” kata peguam Anwar, N Surendran kepada Keadilan Daily.
Seorang lagi peguam, Latheefa Koya pula berkata, Utusan membela diri mengatakan berita itu adalah sumber dari berita Filipina, Philippines Daily Inquirer, tetapi jelas media dari negara seberang itu tidak ada menyebut Anwar sebagai dalang pencerobohan.
“Utusan tanya kenapa kita tak saman media Filipina dan Reuters (yang turut melaporkan berita itu), sebabnya kita dah tengok dua-dua artikel dari media itu, tidak menyebut Anwar sebagai dalang pencerobohan. Utusan yang ‘spin’ sebab itu kita saman dia,” katanya.
“Kita beri mereka tempoh 24 jam dalam notis itu untuk beri jawapan, jika tidak esok kami akan failkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” jelas Latheefa.
Pada 21 Januari lalu, Anwar menang kes saman fitnah RM50 juta terhadapUtusan dan ketua pengarangnya berhubung artikel berkaitan temu bualnya yang disiarkan oleh BBC tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham turut menyifatkan Utusan tidak mengamalkan etika kewartawanan yang bertanggungjawab. (Oleh Aisha Geoffrey)
Isu Lahad Datu: Anwar Saman Utusan, TV3 RM200 Juta
Reviewed by Admin
on
9:42:00 PTG
Rating: