Tadika Ajar Murid Hina Nabi Akan Disiasat



ALOR SETAR - Sebuah tadika di pusat bandar, di sini, yang didakwa mengajar anak muridnya menghina Nabi bakal berdepan tindakan undang-undang.

Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid akan mengarahkan pegawai agama (penguatkuasa) untuk menyiasat tadika itu dalam masa terdekat.

“Kita memandang serius perkara ini dan akan minta pegawai agama menyiasat tadika itu termasuk guru, pihak pengurusan dan ibu bapa.

“Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Sekiranya terdapat unsur-unsur ke arah penghinaan Nabi dan sahabatnya, kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, kesalahan itu boleh disiasat mengikut Akta Pendidikan mahupun Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013 yang sudah mendapat perkenan Sultan Kedah pada awal Mac tahun lalu.

“Kita tidak mahu ambil tindakan terburu-buru. Jika tadika itu didapati bersalah, kita mungkin tarik semula lesen pendaftarannya,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan sebuah tadika yang beroperasi sejak dua tahun lalu di pusat bandar, di sini, dikesan mengajar anak muridnya menghina Nabi dan sahabatnya.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis), Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi yang menjelaskan murid terbabit hanya mengikut apa yang diajarkan oleh guru tadika itu.

Abd Aziz berkata, perkara itu turut mendapat perhatian waris murid yang merasakan sesuatu tidak kena mengenai pembelajaran di situ.


Tadika Ajar Murid Hina Nabi Akan Disiasat Tadika Ajar Murid Hina Nabi Akan Disiasat Reviewed by Admin on 6:07:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.