Penjaga tokong, Lim Sok Yee, 37, sambil menangis turut memberitahu bahawa lelaki yang sebelum itu dicamkan sebagai tertuduh, Koong Swee Kwan turut melepaskan tembakan ke arah Hussain walaupun lelaki tersebut sudah jatuh di kawasan letak kenderaan tokong itu.
"Masa Hussain dan isteri (Cheong Mei Kuen) berjalan menuju ke kereta, saya nampak tertuduh berlari dan mengekori dari belakang dan mula menembak ke arah isteri Hussain dari belakang.
"Bila isteri Hussain jatuh, Hussain berpusing ke belakang dan dia terus ditembak dari belakang. Saya dengar kira-kira lima das tembakan. Bila Hussain jatuh, saya nampak tertuduh buat sesuatu pada pistolnya. Kemudian, dia (tertuduh) lepaskan beberapa das tembakan lagi," kata wanita itu.
Sebelum tembakan tersebut berlaku, tertuduh yang pada ketika itu turut memakai topi bola dan menghisap rokok dilihat sering mundar-mandir di dalam tokong dan sering mengintai ke dalam apabila berada di bahagian luar bangunan tersebut.
Saksi pendakwa keempat itu berkata demikian dalam perbicaraan hari pertama terhadap penarik kereta, Swee Kwan yang menghadapi tuduhan membunuh pengasas bank tersebut dan tuduhan cubaan membunuh Mei Kuan, 50.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta di Tokong Cina Kuan Yin, No. 4, Lorong Ceylon, Dang Wangi antara pukul 1.30 dan 2 petang, 29 Julai lalu.
Bagi tuduhan membunuh Hussain, 75, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pertuduhan cubaan membunuh Mei Kuan pula dikemukakan mengikut Seksyen 307 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Yusaini Amer Abd. Karim manakala tertuduh diwakili peguam, Zambri Idrus.
Terdahulu, Sok Yee memberitahu, pasangan tersebut datang ke tokong tersebut untuk membantu rumah ibadat itu dalam satu perbincangan dengan seorang individu yang dikenalinya dengan nama Datuk Richard Morrais.
Ujar wanita itu, dalam perbincangan yang turut dihadiri oleh dirinya dan kakaknya, Morrais didakwa hendak memberi wang sejumlah RM300,000 kepada dua lagi individu bernama Lim Sok Ling dan Lim Sok Chean namun dibantah oleh Hussain kerana wang tersebut merupakan milik tokong.
Perbincangan yang berjalan selama setengah jam itu berakhir tanpa sebarang penyelesaian.
"Selepas perbincangan, Richard beredar. Lelaki (tertuduh) saya lihat masih lagi berulang alik di kawasan tokong dan kadang kala mengintai ke dalam tokong. Hussain kemudian ada membuat panggilan telefon sebelum memberitahu dia perlu beredar kerana ada mesyuarat. Dia juga suruh saya buat temu janji dengan peguam dan Morrais keesokan harinya," kata Sok Yee.
Wanita itu memberitahu, Morrais mendakwa ada hak dalam hartanah milik tokong terbabit dan Hussain hanya hadir untuk membantu tokong.
Beliau memberitahu, mangsa tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan rumah ibadat itu dan mengenali Mei Kuan sejak 1995 kerana isteri mangsa sebelum itu sering datang sembahyang di tokong terbabit.
Sementara itu, pakar perubatan patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Nurul Kharmila Abdullah memberitahu, pemeriksaan ke atas mayat Hussain mendapati terdapat beberapa kesan tembakan di bahagian hadapan, sisi dan belakang badan.
"Terdapat lima kesan tembakan di bahagian depan meliputi kesan peluru masuk dan keluar manakala terdapat enam kesan tembakan masuk dan keluar di bahagian belakang. Berdasarkan kesan kecederaan, penyerang dianggarkan berada dalam jarak antara 40 ke 60 sentimeter," katanya.
Pakar tersebut turut menyatakan, tembakan tersebut telah mengenai dua organ utama iaitu jantung dan salur darah utama, aorta.
"Kecederaan pada jantung telah menyebabkan pendarahan teruk di rongga dada kiri manakala kecederaan pada aorta menyebabkan rongga dada kanan dipenuhi darah.
"Walaupun tanpa kecederaan pada aorta, kecederaan pada jantung sudah cukup untuk menyebabkan kematian. Kecederaan pada jantung sangat serius dan kalau berjaya dibawa ke bilik bedah pun, peluang untuk selamat amat sukar kerana jantung hampir pecah," katanya.
Hussain kemudian diklasifikasikan meninggal dunia ekoran luka tembakan berganda di bahagian dada.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Azman Husin bersambung esok. - Utusan
Pengasas Ambank, Isteri Dikejar Sebelum Ditembak
Reviewed by Admin
on
10:06:00 PG
Rating: