Pegawai penyiasat memeriksa mayat Muhammad Firdaus.
Orang ramai dan anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Melaka.
BANDARAYA MELAKA - Seorang ibu tidak menyangka pelukan pertama daripada anak lelakinya, adalah pelukan terakhir yang diterima apabila anak keempatnya itu maut dalam kemalangan, awal pagi, semalam.
Lebih menyayat hati, Zubaidah Ghani, 47, terpaksa menerima hakikat hilang dua anak sekali gus, selepas anak keduanya, Mohd Hafis, 28, meninggal dunia akibat kanser usus genap sebulan lalu.
Ibu anak enam itu yang masih terkejut berkata, dia bagaimanapun reda dengan kehilangan Muhammad Firdaus Md Said, 19, yang maut di Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ) Peringgit, di sini.
Zubaidah berkata, sebelum kejadian, Muhammad Firdaus yang dipanggil Acik juga berkelakuan pelik apabila membalut tubuh dengan selimut milik arwah Mohd Hafis di rumah mereka di Bukit Meta, Telok Mas.
“Selama ini, Muhammad Firdaus tidak pernah peluk saya. Dia yang bersikap periang selalunya hanya mencuit- cuit saya tetapi semalam (kelmarin), dia yang baru balik kerja sebagai penghantar surat terus memeluk saya dari belakang.
"Apabila ditanya kenapa, dia tidak menjawab, hanya sekadar ketawa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Melaka.
Guna selimut arwah abang
Menurutnya, petang semalam (kelmarin) anaknya itu duduk di sofa sambil berselubung menggunakan selimut milik arwah abangnya.
"Saya yang pelik dengan sikapnya bertanya adakah dia buang tabiat berselimut siang hari tetapi dia menjawab sejuk.
"Saya hanya mengetahui kejadian ini selepas seorang rakan anak datang ke rumah mahu bertemu Mohd Rezuan kira-kira jam 3 pagi semalam dan memaklumkan Acik terlibat kemalangan," katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu, Muhammad Firdaus yang menunggang Yamaha 125Z dari arah Jasin ke Alor Gajah maut selepas bertembung dengan sebuah Proton Saga Aeroback dari arah bertentangan.
Kereta yang terbabas memasuki laluan bersebelahan itu juga mengakibatkan penumpang kereta terbabit, Abdul Rahup Yusof, 19, yang tersepit maut di tempat kejadian, manakala pemandu, Noh Hamrizal Ahmad, 21, cedera di muka.
Seorang lagi penunggang Yamaha LC, Khairul Bismi Romli berusia belasan tahun yang datang dari arah sama dengan Muhammad Firdaus cedera di kaki akibat rempuhan berkenaan.
Naik bot sama-sama
Sementa ra itu, abang ipar Abdul Rahup, Mohd Fairuz Md Daud, 27, berkata, mereka berdua sempat menaiki bot bersama-sama petang kelmarin untuk pulang ke rumah selepas waktu bekerja di jeti sebuah syarikat cari gali minyak tempatan.
“Kami bekerja di syarikat sama tetapi jabatan berlainan. Sudah dua minggu kami tidak balik bersama tetapi petang semalam (kelmarin) dia jemput saya di jeti dan menghantar saya ke darat sebelum dia meneruskan perjalanan bot ke Dataran 1Malaysia, Klebang kerana dia meletakkan kenderaannya di sana,” katanya.
Menurutnya, Abdul Rahup yang baru bekerja sebagai krew bot sejak dua bulan lalu sempat memberitahu ibunya, Rapaha Wahab, 45, sebelum keluar dari rumah di Kampung Pulau, Durian Tunggal, dekat sini.
“Apabila menyedari Abdul Rahup belum pulang, ibu cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi dijawab seorang anggota polis dan memaklumkan dia terlibat kemalangan.
“Saya kemudian menghubungi telefon adik ipar sekali lagi dan polis memaklumkan dia telah meninggal dunia," katanya.
Kereta terbabas rempuh dua motosikal
Sementa ra itu, menurut sumber, kereta dipandu Noh Hamrizal dari arah lampu isyarat Melaka Sentral/ Peringgit hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh dua motosikal.
“Akibat pertembungan itu, Abdul Rahup tersepit di tempat duduk hadapan dan Muhammad Firdaus terjatuh dari motosikal. Kedua-duanya maut di tempat kejadian akibat parah seluruh anggota badan.
“Sementara Noh Hamrizal yang mengalami kecederaan teruk di muka dan Khairul Bismi patah kaki serta mengadu sakit dada dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Seorang saksi, Mohd Rizal Baba, 23, pula berkata, sebelum kejadian, dia yang berada di kawasan berhampiran melihat sebuah kereta Proton Waja berhenti dan membuka pintu di laluan tengah jalan raya menghala Jasin.
“Kereta Proton Saga yang datang dari belakang cuba mengelak kereta terbabit sebelum terbabas ke kanan dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh dua motosikal yang menghala Alor Gajah,” katanya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
sumber
Pelukan Pertama, Terakhir
Reviewed by Admin
on
10:45:00 PTG
Rating: