Polis Terengganu Buka 53 Kertas Siasatan Berkaitan PRU13



KUALA TERENGGANU, 8 Mei (Bernama) -- Polis Terengganu membuka sebanyak 53 kertas berhubung pelbagai kesalahan sepanjang proses pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di negeri ini sejak hari penamaan calon, 20 April lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata kesemua kes yang disiasat adalah berkaitan kes khianat, keganasan penyokong parti, edaran bahan lucah, merusuh serta mengadakan ceramah tanpa permit.

Katanya tujuh individu yang telah ditahan, masing-masing dua di Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan seorang di Besut telah dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman.

"Kini sebanyak 30 kes masih dalam siasatan dan 16 kes telah ditutup dan kita akan menyelesaikan kesemua kes terbabit dalam masa terdekat.

"Antara daerah yang paling tinggi mencatatkan insiden kekecohan ialah di Kuala Terengganu, Besut, Dungun, Marang dan Kemanan," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Jamshah berkata polis bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan individu yang menyebarkan maklumat berbaur perkauman dan fitnah di media sosial atau khidmat pesanan ringkas (SMS) yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Sementara itu, Jamshah berkata polis sedang mengesan sekumpulan penyokong sebuah parti yang terlibat dalam kes menghalang tujuh penuntut dan bekas penuntut mengundi di Sekolah Kebangsaan Ladang di sini, Ahad lalu.

Katanya seorang daripada penyokong itu didakwa turut bertindak menolak dan meletakkan parang di leher seorang daripada penuntut terbabit.

"Siasatan mendapati mereka merupakan penuntut dan bekas penuntut Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berasal dari Kedah dan mendaftar sebagai pengundi di sini semasa menuntut di UMT," katanya.

Beliau meminta penyokong terbabit tampil menyerah diri di balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, Jamshah berkata seorang pengundi lelaki berumur 26 tahun ditumbuk penyokong sebuah parti selepas pulang mengundi di Kampung Teluk Pasu, Manir kerana didakwa pengundi hantu.

"Kita berjaya menahan suspek yang berusia 30 tahun dan berasal dari Kampung Tanjung Bunut Manir dan telah didakwa di mahkamah dan kini kami masih mengesan beberapa lagi suspek yang terlibat,"katanya.

-- BERNAMA

Polis Terengganu Buka 53 Kertas Siasatan Berkaitan PRU13 Polis Terengganu Buka 53 Kertas Siasatan Berkaitan PRU13 Reviewed by Admin on 9:18:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.