PM Kecewa Pemimpin Dituduh ‘Kepala Perompak’ Pakat Lawan Umno


Datuk Seri Najib Razak berkata pemimpin berkenaan sanggup menggadaikan perjuangan agama, bangsa dan negara semata-mata untuk bersekongkol dengan parti lain. ― Foto oleh Saw Siow Feng

KUALA LUMPUR, 12 Ogos ― Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata tiada bezanya kepimpinan beliau dan pemimpin terdahulu kerana kedua-duanya tidak terlepas daripada tohmahan.

Namun, Najib melahirkan kekecewaan atas sikap pemimpin tersebut yang kini memilih untuk bersubahat dengan musuh politik, walaupun pernah dituduh sebagai pemberi rasuah, salah guna kuasa dan kepala perompak oleh pihak berkenaan.

"Amat mengecewakan apabila seorang pemimpin lama hari ini sanggup menggadaikan perjuangan atas nama agama, bangsa dan negara semata-mata ingin bersekongkol dengan parti lain yang matlamatnya terang-terang bertentangan dengan matlamat dan nilai parti yang diperjuangkannya (pemimpin itu) dahulu.

"(Semata-mata) Demi menjatuhkan kerajaan, yakni yang beliau sendiri asaskan kerajaan hari ini," kata perdana menteri menerusi rakaman audio terbaharu di laman www.najibrazak.com.

Perdana menteri berkata umum mengetahui bahawa pemimpin tersebut sebelum ini sanggup melakukan apa sahaja dalam usaha menjatuhkan kerajaan hari ini, semata-mata menjaga air muka dan ego sendiri.

Najib berkata atas sebab ego, pemimpin tersebut sering melontarkan pelbagai tohmahan terhadap kepimpinan serta anggota pentadbiran kini, walaupun apa yang dilontarkan berbaur fitnah dan diperbesar-besarkan.

"Adakah beliau tidak terkecuali daripada tohmahan yang beliau lemparkan ke atas saya ketika zaman beliau memegang kuasa?

"Walau apapun tohmahan yang dilemparkan kepada beliau dahulu, bangunan serta infrastruktur tetap dibangunkan, negara tetap dapat melalui proses transformasi walaupun musuh politik dahulu yang kini beliau bersubahat dengan, menuduh beliau sebagai pemberi rasuah, salah guna kuasa dan kepala perompak," kata perdana menteri.

Namun, di sebalik serangan pemimpin berkenaan, Najib menegaskan beliau akan meneruskan tanggungjawab serta tugas beliau dalam membangunkan agama, bangsa dan negara.— Bernama

PM Kecewa Pemimpin Dituduh ‘Kepala Perompak’ Pakat Lawan Umno PM Kecewa Pemimpin Dituduh ‘Kepala Perompak’ Pakat Lawan Umno Reviewed by Admin on 9:10:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.