SPRM Tahan Pengarah GLC, Sita RM39.3j Akaun Bank



SPRM menyita RM39,3 juta daripada beberapa akaun bank milik pengarah GLC dan beberapa ahli keluarganya. — Foto oleh Yusof Mat Isa

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bergelar Datuk, dipercayai menyalahgunakan kuasa dan menerima sejumlah wang rasuah.

Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di rumahnya di Shah Alam, kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan.

Sumber memberitahu SPRM telah menyita RM39.3 juta daripada beberapa akaun bank milik suspek dan beberapa ahli keluarganya.

“Suspek disyaki telah memberikan projek kepada syarikat-syarikat yang berkepentingan ketika memegang jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) di sebuah syarikat GLC sebelum meletakkan jawatan tersebut pada tahun lepas.

“Dia dikatakan telah menganugerahkan projek bernilai hampir RM50 juta kepada syarikat-syarikat berkepentingan dan mengambil wang suapan sebagai balasan, ketika memegang jawatan tersebut selama lima tahun bermula tahun 2010,” katanya kepada Bernama semalam.

Menurut sumber itu, selepas meletakkan jawatan itu suspek dilantik sebagai pengarah di sebuah syarikat GLC lain yang dipegangnya sehingga kini.

Ditanya jumlah rasuah yang diterima suspek, sumber berkata SPRM sedang menyiasat jumlah suapan yang diterima suspek selama memegang jawatan tersebut dan aset yang dimilikinya.

“Bagaimanapun, tidak ada sebarang penyitaan harta atau pembekuan akaun dibuat setakat ini,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

“Suspek dipercayai akan ditahan reman esok untuk membantu siasatan,” katanya. — Bernama

SPRM Tahan Pengarah GLC, Sita RM39.3j Akaun Bank SPRM Tahan Pengarah GLC, Sita RM39.3j Akaun Bank Reviewed by Admin on 10:54:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.