6 Remaja ditahan Bantu Siasatan Ceramah ABU Kecoh



SHAH ALAM - Polis setakat hari ini telah menahan enam remaja berusia di antara 16 hingga 20 tahun dari Kampung Jalan Kebun di sini bagi membantu siasatan kes pergaduhan pada ceramah politik Asal Bukan Umno (ABU) di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam di kampung itu pada malam Sabtu lepas.

Ketua Polis Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata seorang ditahan pada Sabtu lepas manakala lima lagi ditahan semalam.

Mereka yang merupakan kumpulan penyerang ditahan berdasarkan rakaman video dan kamera pada malam kejadian, bagaimanapaun mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis pagi ini, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Polis setakat ini menerima enam laporan berhubung kejadian itu dan meneruskan siasatan berdasarkan rakaman kejadian itu yang diambil dari laman web tertentu seperti YouTube dan sumber-sumber lain, katanya.

Dipetik Bernama, Zahedi berkata polis sedang menunggu laporan perubatan pemandu lori berusia 27 tahun dari Taman Sri Muda, di sini yang cedera dalam pergaduhan kira-kira 9.15 malam itu, yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

"Kami mahu menemu bualnya jika keadaan mengizinkan, kami mahu tahu kenapa mereka menyerangnya dan bukan orang-orang lain," katanya.

Beliau berkata lelaki itu cedera di bahagian bahu, belakang badannya dan satu daripada matanya.

Zahedi berkata penganjur sepatutnya memaklumkan polis mengenai ceramah itu bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan awam terjamin dan jika cadangan tempat ceramah itu tidak sesuai atau menyentuh sensitiviti penduduk setempat, polis akan mencadangkan tempat yang sesuai.

Katanya ceramah politik itu adalah anjuran kumpulan tidak berdaftar Hindraf dan gerakan "Asalkan Bukan UMNO" (ABU) yang dihadiri 70 peserta termasuk Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Pengasas ABU peguam Harris Ibrahim dan
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau Badrul Hisham Shahrin.
sumber

6 Remaja ditahan Bantu Siasatan Ceramah ABU Kecoh 6 Remaja ditahan Bantu Siasatan Ceramah ABU Kecoh Reviewed by Admin on 9:00:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.