Anak Peneroka Felda
 Cipta Telefon Pintar


MOHD. SUARJOHANI SURAIDI menunjukkan produk telefon bimbit keluaran syarikatnya sempena majlis Himpunan Ikatan Hati Warga Felda 2014 di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Keupayaan Pengarah Syarikat Genius Factor Sdn. Bhd., Mohd. Suarjohani Suraidi menerokai bidang yang jarang diceburi rakyat negara ini mendapat pengiktirafan kerajaan dengan dianugerahkan Tokoh Harapan Generasi Baharu Felda Anugerah Belia Felda Malaysia (ABFM) 2014.

Menurut Mohd. Suarjohani Suraidi, cita-citanya menjadi seorang usahawan bermula beberapa tahun lalu selepas pertama kali terlibat dengan bidang perniagaan percetakan kecil-kecilan sebelum menceburi bidang telekomunikasi.

Beliau berkata, pengalamannya bekerja selama 15 tahun di pelbagai kilang elektronik dan pemasangan telefon bimbit menjadi titik tolak kepadanya untuk memiliki jenama telefon sendiri.

“Selepas terlibat dalam perniagaan percetakan, saya beralih perniagaan secara kecil-kecilan dalam bidang elektronik dan pemasangan telefon bimbit di sebuah kilang di Felda Tenggaroh Dua, Mersing.

“Dengan pengalaman yang diperoleh, saya akhirnya berjaya mencipta telefon pintar jenama GFon yang setanding dengan jenama terkenal lain tetapi ditawarkan dengan harga mampu milik dan lebih murah berbanding jenama import lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas majlis Himpunan Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2014 di sini hari ini.

Mohd. Suarjohani berkata, telefon pintar itu akan mula memasuki pasaran tempatan pada pertengahan bulan hadapan dan buat permulaan pihaknya menyasarkan untuk menjual sebanyak 50,000 unit telefon model Zizo 10 dan Zizo 5.

Katanya, kedua-dua model tersebut yang setanding jenama terkenal antarabangsa akan dijual pada harga di bawah RM1,000.

“Impian saya adalah untuk membawa jenama tempatan terutama Felda ke peringkat antarabangsa dan pada masa sama, menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan berkhidmat di tempat sendiri tanpa perlu merantau,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 20 kategori dipertandingkan dalam ABFM kali ini yang merupakan satu pengiktirafan kerajaan melalui Seranta (Felda), Jabatan Perdana Menteri bersama Felda dengan kerjasama Majlis Belia Felda.

Bagi kategori persatuan, Persatuan Belia Felda Sahabat Dua berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori Persatuan Belia Cemerlang Felda manakala tempat kedua dan ketiga diraih Persatuan Belia Felda Tun Ghafar Machap dan Persatuan Belia Felda Keembong, Jengka.

Untuk kategori Persatuan Belia Terbaik Bidangan: Khidmat Komuniti dan Persatuan Belia Terbaik Bidangan: Kebudayaan pula masing-masing diterima Persatuan Felda Tembangau Satu dan Persatuan Belia Felda Kemahang Dua.

Sementara itu, sebanyak lapan kategori dipertandingkan untuk kategori individu antaranya Anugerah Kepimpinan Terbilang Belia Felda yang dimenangi Mohd. Jamil Mat Daut dan Anugerah Kepimpinan Terbilang Beliawanis Felda diraih Hasiah Daud.

Kesemua anugerah itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Utusan

Anak Peneroka Felda
 Cipta Telefon Pintar Anak Peneroka Felda
 Cipta Telefon Pintar Reviewed by Admin on 7:13:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.