Adam Jawab Saranan Rafizi Ramli Supaya Mengisytiharkan Harta



AMPANG - Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly menyatakan kesediaan untuk disiasat pihak berautoriti berhubung dakwaan kemewahan yang dimilikinya.

Ujarnya, tidak ada apa yang perlu ditakutinya, kerana beliau telah bersedia dengan segala dokumen dan bukti yang diperlukan sekiranya beliau disiasat.

"Saya jamin akan beri bekerjasama yang sangat baik kepada pihak polis , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasat dan bertanya sebarang soalan.

"Dan saya akan kemukan sebarang dokumen mengenai perniagaan saya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Adam bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai ‎jenis perniagaannya itu.

"Mengenai soal bisnes ini, ia isu peribadi saya rasa tak perlu jelaskan kepada media mengenai bisnes apa dan di mana bisnes itu.

"Kerana ia privasi, perkara ini jika ia diviralkan akan mendatangkan bahaya dan tidak baik pada bisnes saya," katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada benar beliau menjalankan perniagaan eksport perabot, Adam hanya menjawab:

"Biar saya jawab dengan pihak tertentu sahaja".

‎Sementara itu, ketika mengulas mengenai saranan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai keperluan untuk mengisytiharkan harta, Adam berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

"Saya setuju dengan cadangan itu, tetapi apakah ada keperluan untuk saya isytihar harta saya?

"Saya bukan penjawat awam, namun ‎sekiranya perkara itu arahan umum parti dan dapat memuaskan semua pihak saya bersedia untuk isytihar harta tanpa meninggalkan sesen pun," katanya.

Ditanya pula sama ada benar dakwaan kemewahan yang dimilikinya sepertimana yang tersebar luas dimedia sosial, seperti dakwaan memiliki banyak rumah dan kereta, Adam juga enggan menjawab sebaliknya mempersoal adakah memiliki kereta mewah salah bagi ahli perniagaan sepertinya.

"(Rumah) itu tak menunjukkan ia rumah saya. Buktikan itu rumah saya.

"(Mengenai kereta mewah) tidak jadi kesalahan pada saya untuk memiliki sebarang kereta. Salah ke? Saya bukan penjawat awam," katanya.

Untuk itu, Adam menjelaskan beliau akan mengambil tindakan saman kepada Ketua Umno bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos yang dakwanya telah melemparkan tuduhan tidak benar berhubung perkara itu.

‎"Saya akan failkan saman pada Ismail Kijo dan Jamal kerana fitnah dan berikan tuduhan jahat seusai semua urusan mahkamah dan terbukti saya tak bersalah.

"Kita tunggu siasatan (daripada SPRM, LHDN) selesai. Sebab saya dapat tahu Ismail Kijo dan Jamal membuat laporan pada saya.

"Bila selesai (siasatan) saya akan saman pihak yang memfitnah ini," katanya lagi.

Adam berkata, urusan saman itu hanya akan dibuat selepas selesai segala siasatan pihak berautoriti terhadapnya.


Sumber: http://www.sinarharian.com.my/

Adam Jawab Saranan Rafizi Ramli Supaya Mengisytiharkan Harta Adam Jawab Saranan Rafizi Ramli Supaya Mengisytiharkan Harta Reviewed by Admin on 3:40:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.