Susulan Nahas Gopeng: 'Menggeletar Tengok Mayat Celah Tayar'


Kereta jenis Proton Iswara terperosok dalam longkang selepas dirempuh treler yang terbalik.

GOPENG – “Menggeletar saya melihat rakan-rakan tersepit di tayar treler dalam keadaan mengerikan sehingga saya sendiri tidak sanggup melihatnya,” kata Dino Azmi, 36, mangsa kemalangan dekat Gopeng, Perak semalam.

Dino, yang hilang empat rakan dalam kejadian itu berkata, dia bersama tujuh rakan lain sedang memulakan tugas pemasangan kabel optik di bahu jalan itu selepas kabel itu dicuri.

Katanya, kejadian itu berlaku sangat pantas dan mereka tidak sempat menyelamatkan diri dari dirempuh treler itu.

“Pernah berlaku kejadian seperti ini tidak lama dulu, tetapi kami sempat lari menyelamatkan diri setelah dengar bunyi kon dilanggar.

“Kali ini, kami tidak dengar apa-apa kecuali bunyi brek dan bunyi dentuman akibat rempuhan pada kenderaan yang diletakkan tidak jauh dari kami. Saya tercampak ke dalam longkang berhampiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Dino berkata, dia berasa kejadian berkenaan sebagai mimpi kerana dia bersama Mahyuddin dan Ismady menikmati makanan bersama sebelum ke tempat kejadian.

“Saya dengar jeritan rakan-rakan yang bergelimpangan atas jalan. Saya merangkak mendapatkan rakan-rakan yang tersepit di tayar treler itu.

“Saya tarik Ismady yang merintih minta tolong keluar dari bawah treler. Sambil memangkunya, saya hubungi ambulans untuk bawa dia ke hospital. Tidak sangka dia pun meninggal,” katanya dalam nada sebak.

Dalam tragedi semalam, empat pekerja syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) terbunuh manakala empat lagi cedera parah selepas digilis dan diseret sebuah treler dekat susur keluar ke Gopeng di Kilometer 294.1, Lebuh Raya Utara Selatan.

Dalam kejadian mengerikan jam 4.30 pagi itu, treler tersebut hilang kawalan dan merempuh lapan pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kabel optik telefon kecemasan di lorong kecemasan lebuh raya itu.

Sebelum itu, treler berkenaan merempuh empat kenderaan milik Propel dan Time Dotcom, iaitu sebuah kereta Proton Iswara, pacuan empat roda, van dan lori satu tan yang diletakkan di lorong kecemasan.

Tiga pekerja, Mohd Shafie Ismail, 56, dari Taman Shatin, Ipoh, Shaharuddin Abd Aziz, 51, dari Kuala Kangsar dan Mohd Hafez Yunos, 39, dari Kuala Lumpur, maut di tempat kejadian manakala Ismady Mohd Rodzi, 32, dari Kulim, Kedah, meninggal dalam perjalanan ke HRPB.

Azhan Ismail, 44, Mahyuddin Idris, 48, Shafudin Abdul Jalil, 31, Dino dan kelindan, Mohd Rozi Mat Sharif, 44, tercampak dari treler itu dan cedera parah. Pemandu treler terbabit cedera ringan.

Ketiga-tiga yang terbunuh dihantar ke rumah mayat, Hospital Kampar untuk bedah siasat, manakala mereka yang cedera parah dirawat di HRPB.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, hasil siasatan mendapati treler berkenaan yang membawa makanan ringan dari Johor Bahru, Johor, menuju ke Ipoh didapati hilang kawalan sebelum merempuh empat kenderaan dan lapan orang.

Abang niat berhenti kerja

Dalam pada itu, adik kepada Ismady, Mohd Fairuz, 26, berkata, abangnya pernah menyuarakan niat untuk berhenti kerja di syarikat terbabit kerana kekangan masa dan risiko dihadapinya.

“Arwah abang pernah cakap banyak kali hendak berhenti kerja kerana dia sedar risiko bekerja di lebuh raya selain terpaksa bersengkang mata pada malam hari. Niat itu tidak kesampaian.

“Kali terakhir saya bertemu arwah adalah pada jam 8 malam semalam (kelmarin) ketika keluar bekerja. Sepatutnya, saya bersamanya bekerja hari ini (semalam), tetapi saya ambil cuti,” katanya.

Dia menyifatkan abangnya kuat bekerja untuk keluarga. Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Tasek, semalam.
sumber

Susulan Nahas Gopeng: 'Menggeletar Tengok Mayat Celah Tayar' Susulan Nahas Gopeng: 'Menggeletar Tengok Mayat Celah Tayar' Reviewed by Admin on 8:57:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.