TMJ 'Ceramah' Annuar Musa Isu Bola Sepak Kelantan



Perkara Terbaik Adalah Membiarkan Keputusan Dibuat Oleh Ahli-Ahli Gabungan Dan Penyokong Bola Sepak Malaysia.

Baru-baru ini, terdapat satu kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri, menggesa agar bola sepak tidak sepatutnya diuruskan melalui proksi dan menyatakan saya perlu menjelaskan pendirian dan membuat keputusan sama ada mahu menerima tugasan tersebut atau tidak. Bagi saya, perkara yang terbaik adalah membiarkan ahli-ahli gabungan yang membuat keputusan mengenai apa yang terbaik untuk bola sepak Malaysia dan juga kepada penyokong. Pertama sekali, saya tidak perlu untuk menerima nasihat daripada seorang pemimpin yang gagal untuk memimpin.

Setiap kali sebuah kelab bola sepak atau syarikat menghadapi masalah kewangan, ia dipanggil kelemahan pengurusan. Ia juga secara tidak langsung mencerminkan sikap pemimpin tersebut. Apabila anda berada dalam kedudukan di mana anda mempunyai banyak penaja, anda sepatutnya menggunakan peluang tersebut untuk melangsaikan semua hutang anda. Sebaliknya, anda membuat keputusan dengan mengambil khidmat jurulatih import baru serta tiga pemain import tambahan. Dengan keputusan ini, orang-orang yang menjadi mangsa adalah pemain-pemain tempatan kerana mereka tidak menerima gaji mereka. Keutamaan harus diberikan kepada pemain tempatan dan bukannya pemain import. Ia jelas menunjukkan bahawa anda terlebih membayar pemain import dan hasilnya, anda tidak mampu untuk mengekalkan kelab.

Perkara itu tidak berakhir di sini, kita dapat lihat prestasi Kelantan mulai merosot dan cukup jelas bahawa kapal tersebut mulai karam. Lebih memburukkan lagi keadaan sebagai nakhoda kapal, anda memilih untuk meninggalkan kapal tersebut, dan membiarkan anak-anak kapal anda menderita. Dan dengan situasi tersebut, anda masih ada keinginan untuk menjadi Presiden FAM.

Jadi nasihat saya kepada anda adalah, tumpukan perhatian kepada kerjaya politik. Anda adalah seorang ahli politik senior yang sangat berpengalaman dan kami menghormati tugasan yang anda lakukan. Oleh itu, sila berikan tumpuan kepada tanggungjawab politik anda dan mungkin anda akan dapat membersihkan keadaan kucar-kacir serta skandal di Mara. Mari kita serahkan bolasepak tanahair kepada rakyat untuk membuat keputusan mengenai apa yang terbaik untuk bola sepak Malaysia.

Bolasepak tidak memberi apa-apa manfaat kepada saya. Ia hanya satu sukan yang saya cintai. Beza antara sesetengah individu dengan saya adalah mereka berkhidmat kepada ideologi parti politik dan kepentingan peribadi. Saya berkhidmat untuk rakyat.

DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

TMJ 'Ceramah' Annuar Musa Isu Bola Sepak Kelantan TMJ 'Ceramah' Annuar Musa Isu Bola Sepak Kelantan Reviewed by Admin on 7:23:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.