Buru ‘hantu’ jejaskan hubungan



MELAKA 13 Okt. – Malaysia dan Indonesia perlu mencari ‘hantu’ yang cuba merosakkan hubungan baik dua negara yang telah terjalin sejak sekian lama.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat ini hubungan antara kedua-dua negara tidak menghadapi sebarang masalah kerana ia sering kali dapat diselesaikan di meja rundingan.

“Tetapi apabila sekumpulan rakyat Indonesia mengepung pejabat Kedutaan Besar Malaysia (di Jakarta), ini sebenarnya cubaan merosakkan hubungan antara kedua-dua negara. Kalau pun ada masalah, jangan terlalu emosi hingga boleh menyebabkan keakraban antara Malaysia dan Indonesia terjejas.“Ini ada ‘hantu-hantu’ yang tidak suka dengan hubungan kedua-dua negara yang telah terjalin dan saya minta mereka ini dicari,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Ke-12 di sini malam ini.

Beliau mengulas tunjuk perasaan anjuran pertubuhan bukan kerajaan Indonesia, Forum Betawi Rempug (FBR) di hadapan pejabat berkenaan semalam untuk menyatakan bantahan terhadap Malaysia yang kononnya mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri yang juga Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Terdahulu Mohd. Ali dalam ucapannya berkata, DMDI sangat serius dalam merealisasikan wawasannya untuk menyatu dan membangunkan orang Melayu dan umat Islam.

Menurutnya, tumpuan lebih ke arah memperkasakan DMDI melalui sosiobudaya, dakwah, pelancongan, pendidikan, ekonomi, sains, teknologi, inovasi serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Setakat ini DMDI telah mencapai beberapa kejayaan termasuk penubuhan DMDI Finance House, DMDI Global, Yayasan DMDI dan Kolej DMDI,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bercadang menubuhkan Bank DMDI bagi menyuburkan lagi ekonomi kaum Melayu dan umat Islam di bawah pertubuhan itu.
sumber

Buru ‘hantu’ jejaskan hubungan Buru ‘hantu’ jejaskan hubungan Reviewed by Admin on 6:00:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.