Mak Cik Pukul ‘hantu’



TEMERLOH: “Mak cik itu pukul lengan saya dengan payung kerana terlalu terkejut melihat saya muncul dari celah dinding menyebabkan saya terpaksa mengetap bibir menahan kesakitan.

“Walaupun sakit hingga menyebabkan lengan saya lebam akibat pukulan itu, saya sedar ia adalah asam garam bergelar ‘hantu’ yang bertugas menakutkan pengunjung dan saya tidak menyimpannya dalam hati,” kata Nur Afiza Roslin, 21, yang menjadi ‘hantu’ Alam Mistik Biar Betul di Karnival Gegaria Harian Metro (KGHM), di Padang Awam Kubang Gajah.

Menurutnya, dipukul dengan payung itu bukanlah satu-satunya insiden dialami sepanjang dua hari menjadi ‘hantu’ di KGHM malah kepalanya turut diketuk tiga kali oleh seorang pengunjung yang sengaja mahu menguji kesabarannya.

Nur Afiza yang berasal dari Kuantan dipilih menjadi pontianak bersama beberapa rakan lain di sepanjang laluan hampir 100 meter di dalam rumah hantu yang digelar Alam Mistik Biar Betul di KGHM dan itulah pengalaman pertamanya menjadi ‘hantu’.

“Seronok juga melihat pengunjung menjerit ketakutan selepas melihat wajah seram kami yang mengenakan baju yang penuh darah tetapi saya sendiri sebenarnya tidak berani melihat wajah saya di cermin selepas di solek untuk menjadi hantu. Ngeri juga rasanya,” kata Nur Afiza.

Rakan Nur Afiza, Kamaliah Bismin, 24, yang turut menjadi pontianak di rumah hantu Alam Mistik Biar Betul, mendapat pengalaman yang menyakitkan sepanjang dua hari KGHM berlangsung.

Gadis yang berasal dari Sabah itu ditendang beberapa kali di pinggangnya oleh segelintir pengunjung nakal tetapi insiden itu tidak mematahkan semangatnya mencari pengalaman menjadi ‘hantu’.

“Semua itu dilakukan pengunjung lelaki yang mengambil kesempatan menendang pinggang dan tubuh saya tetapi tetap sabar. Bagi saya itu semua perkara biasa atau mungkin tindak balas spontan akibat terlalu takut,” katanya.

Rumah Alam Mistik Biar Betul yang mengenakan caj RM2 setiap seorang itu menjadi antara venue yang paling mendapat sambutan daripada puluhan ribu pengunjung yang datang ke Padang Awam, Kubang Gajah sepanjang dua hari KGHM berlangsung.
sumber

Mak Cik Pukul ‘hantu’ Mak Cik Pukul ‘hantu’ Reviewed by Admin on 11:16:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.