Gaddafi Tidak Patut dibunuh



SHAH ALAM - Pembunuhan bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tidak sewajarnya dilakukan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, pihak berkenaan mempunyai kepentingan untuk berbuat demikian dan pada masa yang sama, media Barat melaporkan mengenai kekejaman didakwa dilakukannya.

“Saya sangsi dengan media itu kerana saya juga didakwa seorang diktator. Saya tahu semua ini tidak benar.

“Namun ia berjaya dilakukan terhadap Gaddafi kerana beliau tidak mempunyai perancangan untuk membangunkan negara dan bangsanya,” katanya.

Mahathir berkata, Gaddafi seorang yang peramah dan suka bertanya mengenai negara kita.

“Saya percaya beliau mahu menjadikan negara ini contoh kepada Libya. Namun cita-cita Gaddafi tidak berjaya,” katanya.

Menurut Mahathir, ramai tidak tahu Gaddafi mempunyai perancangan untuk memajukan Libya. Beliau memulakan projek pengairan di kawasan pantai dan membina sungai.

Katanya, kontraktor dari Korea telah membina saluran paip untuk memberi kemudahan kepada petani dan peladang di kawasan pedalaman.

Namun, kata Mahathir, Gaddafi hidup dalam ketakutan apabila Barat cuba membunuh karier politiknya sehingga terpaksa bertemu dengan pelawat di dalam khemah yang dikelilingi tembok.

“Saya dan isteri (Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali) pernah makan tengah hari bersamanya di tempat yang mewah, tetapi bukan di dalam istana,” katanya.

Sambil menyifatkan perkara ini sepatutnya tidak berlaku, kata Mahathir, “Saya sedih dengan apa yang dilakukan oleh negara demokrasi bertamadun (terhadap Gaddafi).”

Katanya, Gaddafi sepatutnya ditahan dan dibicarakan ke atas kesalahan dilakukan terlebih dahulu, bukan dibunuh.

“Saya berdoa dan berharap Libya akan mendapat kerajaan yang baik dan pemimpin yang benar-benar boleh menerajui Libya selepas kematian Gaddafi melalui sistem pilihan raya yang bersih.

“Dan mereka yang bercita-cita menjadi pemimpin pula perlu bersedia untuk kalah dalam pilihan raya itu nanti,” katanya. 

sumber

Gaddafi Tidak Patut dibunuh Gaddafi Tidak Patut dibunuh Reviewed by Admin on 5:51:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.