Inginkah Anda Mati Dalam Derhaka Kepada Allah?



Sebuah hadis yang yang diriwayatkan oleh At Tarmizi, Perempuan itu aurat. Maka apabila ia keluar, mendongaklah syaitan memandang dia. Cuba kita bayangkan, bagaimana dengan keadaan seorang wanita keluar rumah dalam keadaan mendedahkan aurat, tiba-tiba berlaku kemalangan atau sebagainya menyebabkan kematian, bukankah kematian itu berlaku dalam keadaan melakukan derhaka kepada Allah?

Allah tunjukkan kepada nabi dalam peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran bahawa begitu besar dosa dan begitu ngeri azab yang bakal diterima oleh wanita-wanita yang mendedahkan aurat malahan suami atau bapa mereka turut menerima tempiasnya sekali pada akhirat kelak.

Sabda Rasulullah s.a.w. "Perempuan-perempuan yang memakai pakaian tetapi masih seperti telanjang (dedah aurat) sehingga memalingkan pandangan lelaki ajnabi atas mereka, kepala mereka seperti bonggol unta Khurasan dan tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya pun" (riwayat Muslim). Malahan bagi wanita yang menutup aurat tetapi menggunakan warna-warna yang garang atau menarik perhatian lelaki ajnabi juga dilarang.

Sekarang kita melihat ada wanita yang menutup aurat tetapi masih terkinja-kinja di atas pentas, terjerit-jerit umpama haiwan di belantara, manusia begini tidak lebih hanya mempersenda-sendakan syariat Allah kerana wanita yang ikhlas, yang benar-benar menutup aurat kerana perintah Allah, dia akan menjaga pandangan, pergaulan, lisan serta adab sebagai wanita beriman, jika tidak tidak ada bezanya mereka dengan wanita yang tidak menutup aurat.

Akhirnya hayatilah sebuah hadis Rasulullah ketika baginda dalam Israk dan Mikraj yang berbunyi "Aku menjenguk ke dalam neraka, maka kulihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita, yang demikian disebabkan oleh kerana kurang taat kepada Allah dan Rasulullah dan suami mereka dan kerana banyak bertabarruj dedah aurat dan berhias-hias".

Bapa-bapa atau suami-suami kelihatan taat solat, dengar kuliah, bersedekah, buat haji, buat umrah, puasa sunat selain yang wajib, tetapi redha melihat isteri atau anak-anak perempuan dedah aurat, bersalam dengan lelaki ajnabi atau bergaul bebas.

Ketahuilah bapa atau suami begitu belum layak untuk masuk syurga malah untuk mencium syurga Allah pun tidak layak kerana menolak rukun iman. Sama-samalah kita insaf bagi mencapai keredhaan Allah.

Inginkah Anda Mati Dalam Derhaka Kepada Allah? Inginkah Anda Mati Dalam Derhaka Kepada Allah? Reviewed by Admin on 6:15:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.