Bujang Seblak Mati Ditampar Pawang


buaya, gergasi, besar, ganas, mati, makan, bunuh, tampar, bomoh, pawang, saratook, kena tangkap, sungai, wanita, baham, jantan, tembakan, umpan, pancing, cabar, keselamatan, lawan, berat, buru, beradu tenaga, sahih, tumpas
NDET Sanabong menunjukkan kesan tembakan yang dilepaskan penduduk kampung pada rahang Bujang Seblak dalam usaha mendapatkan mayat Siah pada petang 19 Jun lalu, di Saratok, Sarawak, semalam.

SARATOK 2 Julai - Genap 14 hari selepas membaham seorang wanita, Siah Munsong, seekor buaya ganas yang digelar Bujang Seblak seberat lebih 200 kilogram tumpas di tangan pawang buaya tersohor dari Betong, Indet Sanabong, 49.

Buaya jantan itu disahkan sebagai Bujang Seblak berdasarkan kesan dua tembakan iaitu pada mata dan rahang kiri yang dilepaskan penduduk kampung dalam usaha mendapatkan mayat Siah, 42, yang digonggong reptilia itu selama empat jam pada petang 19 Jun lalu.

Buaya sepanjang 3.65 meter dengan lebar badan kira-kira 0.8 meter itu ditangkap hidup-hidup oleh pawang berkenaan pada pukul 8 pagi ini selepas memakan umpan daging anjing yang dipasang di Sungai Nyiar, di hilir Sungai Anak, Roban petang semalam.

Ia kemudiannya dibunuh oleh Indet di lokasi tangkapan dengan kaedah menampar kepala buaya berkenaan selepas membaca mentera yang diwarisi daripada gurunya sejak 33 tahun lalu.

"Saya terpaksa menampar Bujang Seblak di bahagian kepala untuk membunuhnya serta-merta. Ia kerana Bujang Seblak cuba melawan selain memikirkan keselamatan kerana perahu yang saya naiki tidak dapat menampung beratnya," katanya yang ditemui Utusan Malaysia di Rumah Panjang Nanga Sungai Anak di sini hari ini.

Bermula 25 Jun lalu, Indet memulakan pemburuan buaya di Sungai Seblak menggunakan kaedah tradisional dan berjaya menumpaskan tiga reptilia itu termasuk Bujang Seblak di samping dua ekor lagi yang berjaya melarikan diri selepas rotan hidup yang dijadikan tali pancing terputus pada bahagian perambut.

Buaya di Sungai Seblak diburu selepas Bujang Seblak membaham Siah yang mandi di pangkalan perahu Rumah Panjang Nanga Sungai Anak selepas pulang daripada mencari rotan bersama suaminya, Embol Asum, 48, yang merupakan tuai rumah berkenaan.

Indet berkata, sebelum berjaya menjinakkan Bujang Seblak, dia dan adiknya, Tinggi, 45, dengan bantuan dua penghuni rumah panjang terpaksa beradu kekuatan dengan reptilia itu selama sejam.

Katanya, Bujang Seblak amat gagah dan licik menyembunyikan diri di bawah batang kayu di dasar sungai.

"Puas saya menyeru supaya ia timbul dan menarik tali pancing sehingga saya sendiri hilang sabar dan memberi amaran kepadanya. Saya kata kalau kau tidak timbul aku akan selam cari kau, selepas itu barulah dia mengalah," katanya.

Mengulas lanjut Indet berkata, selepas ditewaskan, Bujang Seblak ditunda dengan perahu ke Rumah Panjang Nanga Sungai Anak untuk diserahkan kepada Embol bagi mengesahkan kesahihan identitinya.

Ditanya, adakah pemburuan akan diteruskan selepas menumpaskan Bujang Seblak, pawang itu memberitahu akan berehat seketika, namun bersedia berkhidmat jika diminta pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

Bujang Seblak Mati Ditampar Pawang Bujang Seblak Mati Ditampar Pawang Reviewed by Admin on 11:37:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.