Viral Mat Salleh Kutip Sampah Sukarela, Ini Reaksi Beliau Yang Tidak Disangka



Pasir Gudang: Suami isteri warga Amerika Syarikat (AS) tidak menyangka tindakan mengutip sampah di sekitar kawasan perumahan mereka mendapat tumpuan orang ramai apabila menjadi viral di laman sosial.

Michael Joseph, 63, ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Taman Bukit Dahlia, di sini, berkata, langkah mengutip sampah itu sudah dilakukan bersama isterinya, Tammy Sue, 58, sejak tiga hingga empat bulan lalu selepas berpindah ke negeri berkenaan pada Disember 2014.

Michael berkata, selepas berpindah ke kawasan perumahan itu, dia dan isterinya selalu memikirkan cara terbaik untuk berkhidmat kepada jiran tetangga sehinggalah terpanggil untuk melakukan khidmat mengutip sampah itu secara sukarela.

"Biarpun kami adalah orang mendatang yang mempunyai perbezaan agama dan fahaman di kawasan perumahan ini, sudah menjadi prinsip hidup kami supaya sentiasa berbuat baik dengan orang lain.

"Ini hanya sumbangan kecil kami kepada jiran yang mana kami ingin membantu mereka supaya kawasan perumahan ini sentiasa bersih selain memudahkan tugas petugas yang memungut sampah di kawasan ini.

"Kami hanya mengutip sampah dan memasukkan ke dalam plastik sebelum dibuang ke tong sampah yang lebih besar, sama ada di tong sampah rumah kami atau di kawasan yang mempunyai longgokan sampah yang banyak," kata bekas wartawan di Texas, AS, itu.

Katanya, sejak berpindah di kawasan itu, setiap pagi dia dan isterinya akan menghabiskan masa bersiar-siar di taman serta melakukan senaman dengan berjalan di seluruh kawasan perumahan.

Pada satu hari mereka terdetik untuk mengutip sampah yang terdapat di kawasan sekitar sementara mereka mengambil angin.

Pasangan yang mempunyai tiga anak berusia 31 hingga 36 tahun itu berkata, mereka hanya mengambil masa kira-kira 45 minit pada setiap hari Isnin dan Khamis bagi melakukan perkara berkenaan dan biasanya, hanya mengutip sampah dalam tiga beg plastik saja.

Menurut Tammy yang juga bekas jururawat di Texas, dia dan suaminya selama ini diajar untuk mencintai orang sekeliling dan itu antara cara mereka menunjukkan rasa kasih serta sayang kepada jiran tetangga.

"Ada jiran yang menghantar mesej kepada kami dan tunjuk bahawa gambar kami tersiar di laman sosial.

"Jiran dan orang sekeliling amat menghargai apa yang kami lakukan. Ada yang akan memberhentikan kenderaan dan mengucapkan terima kasih, malah ada juga yang menghulurkan makanan dan minuman buat kami.

"Bagi kami, ini bukan soal kebersihan semata-mata kerana di mana saja, malah di AS juga, sampah sarap itu memang akan wujud.

"Apa yang kami lakukan ini, bukan untuk memberi persepsi buruk sama ada menganggap kawasan ini kotor atau orang sekeliling yang tidak menjaga kebersihan, tetapi apa yang kami lakukan ini hanya untuk berkhidmat kepada jiran dan kawasan perumahan yang kami diami.

"Bagi kami, apa yang kami lakukan hanyalah perkara kecil, tetapi ia mungkin nampak besar kerana kami dipanggil 'Mat Salleh'," katanya yang kini dalam proses mempelajari Bahasa Melayu dan mengikuti kelas bahasa di rumahnya setiap hari.

Sementara itu, seorang penduduk setempat, Azizah Muda, 48, berkata, tindakan murni pasangan terbabit amat dihargai dan perlu dicontohi rakyat tempatan.

"Memanglah ada rasa malu apabila melihat orang luar pula yang mengutip sampah, tetapi apa yang mereka buat itu, memang harus dicontohi kerana ini kawasan kita.

"Mereka juga amat peramah, selalu bertegur sapa dengan orang sekeliling, malah, pernah juga membantu pihak surau kawasan ini bergotong-royong walaupun berbeza agama," kata suri rumah itu.

Azizah berkata, sejak tinggal di kawasan berkenaan 10 tahun lalu, ini kali pertama dia melihat penduduk setempat melakukan perkara seumpama itu secara sukarela.

Sumber: Harian Metro

Viral Mat Salleh Kutip Sampah Sukarela, Ini Reaksi Beliau Yang Tidak Disangka Viral Mat Salleh Kutip Sampah Sukarela, Ini Reaksi Beliau Yang Tidak Disangka Reviewed by Admin on 10:42:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.