Malaysia Bakal Menjadi Pengeluar Kondom Utama Dunia



NEW DELHI – Malaysia kini diambang menjadi pengeluar kondom utama di dunia pada tahun ini, dengan meninggalkan Thailand di belakang sebagai peneraju pasaran, demikian menurut Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC).

MREPC berkata Malaysia kini menguasai satu pertiga daripada pengeluaran dunia, yang dengan mudah melepasi paras satu bilion.

“Kita boleh menjadi pengeluar nombor satu dunia tahun ini berikutan banjir di Thailand. Angka pengeluaran tahun lepas boleh melepasi angka satu bilion kondom,” kata Pengarah Pemasaran dan Pembanguan majlis itu, Low Yoke Kiew kepada Bernama.

Pada 2010, Malaysia, pengeluar getah asli keempat terbesar dunia, telah mengeksport sarung kontraseptif bernilai hampir RM300 juta, iaitu hampir tiga kali nilai eksport pada 2005.

Pengeluar utama Asia – Thailand, China, India, Jepun dan Malaysia – terus membanjiri pasaran global dengan jumlah lebih 10 bilion keping, yang dijual di dalam pelbagai warna, walau pun di negara yang konservatif seperti India.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menggalakkan pengguna kondom berikutan kesedaran terhadap kesihatan.

Di China, lebih dua bilion kondom dijual, di Jepun terjual 580 juta setahun manakala pengeluaran India telah melepasi satu bilion keping.

“Kondom Malaysia mendapat permintaan yang baik dan kompetitif. Kami kini banyak membekalkan kepada program PBB. Kita menjangka pertumbuhan yang baik bagi kesemua produk lateks kita tahun ini, yang termasuk kondom,” kata Low.

Pengeluar kondom bergantung kepada getah asli kerana lebih 90 peratus daripada sarung kontraseptif itu dibuat menggunakan lateks manakala usus biri-biri adalah satu lagi bahan yang digunakan di dalam industri itu.

Kondom getah yang pertama dikeluarkan pada 1855, yang mempunyai ketebalan tiub dalam tayar basikal tetapi perkembangan teknologi telah menjadikannya lebih murah, ringan nipis dan berpelincir. – Bernama

Malaysia Bakal Menjadi Pengeluar Kondom Utama Dunia Malaysia Bakal Menjadi Pengeluar Kondom Utama Dunia Reviewed by Admin on 4:00:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.