Wanita Maut Terhidu Asap Tebal Dalam Kebakaran Di Rumahnya


wanita, meninggal dunia, maut, hidu, bau racun, terbakar, tebal,
gambar hiasan

JOHOR BAHARU - Seorang wanita maut dipercayai akibat lemas terhidu asap tebal dalam kebakaran yang berlaku di rumahnya di Jalan Lawa 9, Taman Pelangi Indah, di sini, hari ini.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Johor Jaya Syed Nasir Syed Abu Bakar berkata Loh Hui Jin, 24, yang terperangkap di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu sempat diselamatkan anggota bomba, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail di sini.

"Bomba menerima panggilan kebakaran itu pada pukul 8.18 pagi dan sebuah jentera bomba bersama 10 anggota tiba di rumah tersebut pada pukul 8.35 pagi.

Kerja menyelamat yang turut dibantu anggota bomba sukarela Ulu Tiram terpaksa memecahkan cermin tingkap atas yang setebal satu inci dan memotong mangga sebelum menurunkan Loh menggunakan tangga," katanya ketika dihubungi hari ini.

Syed Nasir berkata Loh berada dalam keadaan pengsan ketika diselamatkan, namun dia tidak melecur dan tidak mengalami kecederaan lain.

Beliau berkata bomba turut menyelamatkan seorang lelaki, Kee Yung Yue, 24, yang dipercayai teman lelaki Loh, yang didapati lemah setelah terhidu asap tebal ketika cuba menyelamatkan gadis berkenaan dari beranda rumah tersebut.

Katanya, Loh bersendirian ketika kebakaran itu berlaku berikutan ibu dan bapanya berada di Ipoh, Perak manakala dua adik lelakinya yang berumur sembilan dan 13 tahun sedang bersekolah.

"Kita percaya Loh sempat menghubungi Kee untuk menyelamatkannya tetapi Kee gagal kerana jeriji tingkap berkenaan berkunci selain cermin tingkap yang tebal.

"Siasatan awal mempercayai kebakaran itu berpunca dari bilik bawah rumah itu, namun, siasatan lanjut mengenainya sedang dilakukan," katanya. - Bernama

Wanita Maut Terhidu Asap Tebal Dalam Kebakaran Di Rumahnya Wanita Maut Terhidu Asap Tebal Dalam Kebakaran Di Rumahnya Reviewed by Admin on 8:06:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.