Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri bagi Pertahanan Negara (Sastind) berkata objek tersebut dirakam satelit pemerhati berdefinisi tinggi Gaofen-1 sekitar 12 pagi waktu Beijing pada 18 Mac.
Imej berkenaan mengesan objek tersebut pada 44 darjah, 57 minit latitud selatan, dan 90 darjah, 13 minit longitud timur, di selatan lautan Hindi, menurut Sastind yang dipetik Xinuanet.com, lawan web agensi berita nasional China malam Sabtu.
Ia turut memetik jurucakap Kementerian Luar China, Hong Lei sebagai berkata China telah memaklumkan kepada Malaysia dan Australia selepas satelitnya mengesan objek berkenaan yang berukuran 22-meter-panjang dan 13-meter-lebar.
"China berharap data ini akan membantu usaha mencari dan menyelamat," kata Hong.
Hong berkata masih diperlukan analisis lebih lanjut dan pengesahan sama ada objek terapung yang mencurigakan itu mempunyai kaitan dengan pesawat MAS yang hilang.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat air dan udara China sedang menuju selatan Lautan Hindi.
"China akan terus bekerjasama erat dengan pihak berkaitan dan berkongsi maklumat dengan mereka, bagi menggerakkan semua usaha mencari dan menyelamat," katanya.
Lokasi objek dikesan adalah di sepanjang laluan koridor selatan yang mungkin diambil oleh MH370, dan kira-kira 120 km selatan ke barat daripada lokasi objek yang dikesan Australia sebelum ini, tambahnya.
Sementara itu Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan hari ini berkata ia akan mengambil kira maklumat penemuan oleh satelit China dalam pelan pencariannya pada Ahad.
Ia berkata China menyalurkan imej satelit objek kepada Australia pada Sabtu.
"AMSA telah merangka kedudukan dan ia terletak dalam kawasan pencarian pada Sabtu," katanya.
Ia berkata pencarian akan diteruskan pada Ahad dan usaha selanjuitnya akan dibuat bagi menentukan sama ada objek yang dikesan mempunyai kaitan dengan MH370.
AMSA berkata kapal tentera laut Australia, HMAS Success telah tiba di kawasan pencarian begitu juga dengan dua kapal dagang.
Menurutnya, sejak AMSA menyelaras usaha pencarian pada Isnin, 15 pesawat telah diterbangkan dan kru udara telah melakukan lebih 150 jam penerbangan.
Empat pesawat tentera membantu dalam usaha pencarian hari ini, selain dua jet jarak jauh.
Sepuluh anggota sukarelawan Perkhidmatan Kecemasan Negara (SES) dari Australia Barat ditugaskan sebagai pemerhati hari ini, bersama dua penyelaras misi AMSA di pesawat awam.
AMSA menjalankan program latihan untuk melatih sukarelawan SES dalam pemantauan udara bagi pencarian darat dan laut. - Bernama
MH370: Satelit China Kesan Objek Pada 18 Mac
Reviewed by Admin
on
8:28:00 PG
Rating: