Punca Sebenar 6 Individu Maut di Konsert Future Music Festival Asia 2014



KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Enam maut termasuk tiga gadis, disyaki akibat mengambil dadah berlebihan hingga mengalami sesak nafas, ketika menghadiri satu konsert di Stadium Bukit Jalil Jumaat malam.

Tiga lagi lelaki dalam keadaan kritikal, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh, Sabtu.

Enam orang yang meninggal dunia itu adalah warga tempatan berumur 19 hingga 28 tahun dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) awal pagi.

Mereka ialah Kamal Zekry Kamal Basha, 22, Victor Wong E Hern, 26, Sabreena Kamaruddin, 21, M.Suresh, 28, Syazana Sohaime, 23, dan Nor Faizza Mohd Wazir, 27.

Dua orang yang kritikal ialah warga Singapura dan seorang lagi warga tempatan, dalam lingkungan umur 19 dan 27 tahun, mereka kini menerima rawatan di PPUM dan di PPUKM, kata Mohmad.

Mohmad berkata ekoran kejadian itu dan hasil perbincangan dengan pihak penganjur, konsert berkenaan 'Future Music Festival Asia' yang sepatutnya berakhir malam Sabtu, dibatalkan.

Konsert itu diadakan sejak Khamis.

"Keenam-enam yang maut itu dipercayai mengambil dadah jenis methamphetamine dari luar stadium sebelum masuk dan melihat konsert itu. Dadah tersebut dikenali sebagai 'designer drug' atau dadah sintetik," katanya.

Mohmad berkata dadah itu dijual dengan harga sekitar RM60 hingga RM100 sebiji bergantung kepada kandungannya.

Sepanjang dua malam konsert itu berlangsung, polis juga menahan 19 orang pengunjung konsert termasuk 12 warga asing dari Singapura, Sudan, Australia dan Indonesia atas kesalahan memiliki dadah, katanya.

Sementara itu, berikutan pembatalan konsert, perkhidmatan Transit Rel Ringan RapidKL Laluan Ampang tidak dilanjutkan pada malam Sabtu.

Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan di ibu negara, berkata, tren terakhir akan berlepas dari Stesen LRT Sri Petaling pada 11.32 malam dan sampai di bandaraya menjelang tengah malam.

Perkhidmatan bas Shuttle RapidKL antara Stesen LRT Bandar Tasik Selatan dan KL Sentral juga dibatalkan, lapor Bernama.

Punca Sebenar 6 Individu Maut di Konsert Future Music Festival Asia 2014 Punca Sebenar 6 Individu Maut di Konsert Future Music Festival Asia 2014 Reviewed by Admin on 9:07:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.