Sebahagian ahli Nufam yang tidak dapat menahan kesedihan mengenangkan nasib yang menimpa kru kapal MH370 pada program solat hajat. - Gambar ihsan Nufam.Kira-kira 40 anggota Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kabin Malaysia (Nufam) malam tadi mengadakan solat hajat di Masjid Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan kru penerbangan Malaysia Airlines MH370.
Solat hajat tersebut diimamkan oleh Imam besar masjid tersebut, Bambang Eirman Bahudin.
"Saya kenal hampir kesemua anak kapal yang terlibat kerana semuanya sudah berkhidmat lebih 10 tahun.
"Melalui solat hajat ini kami harap pesawat tersebut segera ditemui dalam keadaan selamat," kata Setiausaha Nufam, Mohd Akram Osman ketika ditemui selepas solat tersebut.
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu hilang daripada imbasan radar pada 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.
Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh warga China dan 38 rakyat Malaysia.
Di Ipoh, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata seluruh rakyat di Perak mendoakan agar kesemua penumpang dilindungi dan meminta keluarga mangsa bersabar dalam menghadapi dugaan yang amat berat itu.
Zambry berkata beliau yang sepatutnya bertolak ke Beijing, China menaiki pesawat yang sama pada Khamis ini atas urusan kerja, menangguhkan penerbangannya bagi menghormati kesedihan itu.
Sementara itu, sebuah kelab kebajikan, Little Town Brother Charity Club, mengajak rakyat Malaysia supaya bersatu dan mendoakan keselamatan penumpang penerbangan MH370.
Kelab itu turut mengingatkan masyarakat supaya bersikap lebih sensitif dan bertanggungjawab dengan sebarang maklumat yang dikongsi menerusi laman sosial.
Setiausahanya, Thanga Raj Panneselvan berkata masyarakat seharusnya menghormati perasaan anggota keluarga penumpang pesawat berkenaan.
Beliau berkata demikian sejurus selesai upacara bertafakur dan menyalakan lilin di hadapan pintu masuk balai berlepas KLIA.
Upacara itu disertai kira-kira 30 orang anggota kelab dari sekitar Lembah Klang, Sitiawan dan Ipoh. - Bernama, 11 Mac, 2014.
Nufam Solat Hajat Pohon Kesejahteraan Kru Kapal
Reviewed by Admin
on
9:08:00 PG
Rating: