Juara Pencetus Ummah Terkilan...



SEREMBAN – Juara Pencetus Ummah musim kedua, Azman Syah Alias, 34, atau PU Azman mengakui beliau tidak mempunyai tauliah untuk memberi ceramah dan mengajar agama di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau masih boleh memberi ceramah atau mengajar agama menerusi budi bicara Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

“Pihak yang ingin menjemput saya boleh keluarkan surat jemputan makluman kepada Jabatan Mufti sebagai syarat sementara menunggu permohonan tauliah saya diluluskan.

“Saya pun sudah buat permohonan mendapatkan tauliah minggu lalu dan telah berjumpa sendiri dengan Mufti Negeri Sembilan (Datuk Mohd Yusof Ahmad) bagi membincangkan perkara itu yang nampaknya positif,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mengenai isu Negeri Sembilan tidak membenarkan beliau memberi ceramah, Azman berkata, perkara itu bukan satu isu yang serius, sebaliknya lebih kepada prosedur ditetapkan sesuatu negeri.

Namun, katanya, buat masa ini beliau tidak menolak sebarang jemputan diterima daripada pelbagai pihak.

"Cuma, saya berharap perkara ini tidak disensasikan bagi mengelakkan sebarang persepsi buruk orang ramai kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azman melahirkan rasa terkilan apabila ada mengatakan beliau mengamalkan fahaman Wahabi.

“Bagi saya isu paling serius ialah fitnah mengatakan saya Wahabi. Ia tuduhan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak pasti motif mereka dan ibarat baling batu sorok tangan. Saya tidak tahu siapa yang menyebarkannya,” katanya.

Beliau, bagaimanapun, tidak berhasrat membuat laporan polis berhubung tuduhan itu tetapi sudah melantik peguam sebagai langkah berjaga-jaga.

Untuk rekod, Azman yang sudah mendirikan rumahtangga, adalah anak jati Negeri Sembilan dan menjadi pakar motivasi.

Beliau pernah menetap di Mesir selama 11 tahun dan terkenal sebagai pemidato sekolah. - Sinar

Juara Pencetus Ummah Terkilan... Juara Pencetus Ummah Terkilan... Reviewed by Admin on 2:17:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.