Culik Kajang : 4 Ditahan, Wang Tebusan Berjaya Dirampas Kembali, Polis Dedah Punca Penculikan



SHAH ALAM, 10 Okt: 4 Lelaki ditahan berikutan insiden penculikan kanak-kanak lima tahun di Kajang, semalam.

Keempat-empat mereka, termasuk seorang pemandu teksi yang membawa pulang kanak-kanak itu kepada keluarganya, ditahan kurang dari 24 jam selepas penculikan berlaku.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata polis juga berjaya merampas kembali wang tebusan bernilai RM300,000 yang dibayar.

Abdul Samah Mat turut berkata salah seorang empat suspek tersebut adalah warganegara Indonesia.

“Satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes ini. Tangkapan pertama yang melibatkan dua orang dibuat pada lebih kurang pukul 10.10 malam semalam di hadapan sebuah pasaraya di sini.

“Kedua suspek berada dalam sebuah kereta dan pihak polis telah merampas wang tebusan berjumlah RM30,000 yang ditemui di bawah tempat duduk.

“Tangkapan kedua pula dilakukan pada jam 12:15 pagi ini di Kajang Raya melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun di mana polis telah merampas wang tebusan berjumlah RM1,050 dari dalam beg duit milik suspek.

“Pihak polis juga berjaya merampas wang tunai berjumlah RM60,500 dari motosikal yang terletak di rumah lelaki tersebut,” katanya semasa satu sidang media di IPK Selangor, pagi ini.

Kata Abdul Samah juga, sejumlah wang RM200,000 ditemui di Plaza Indah Sungai Kajang dan sebuah beg berwarna ungu turut dirampas oleh polis. Beg terbabit dipercayai digunakan oleh bapa mangsa untuk mengisi wang tebusan di Pusat Perindustrian Sungai Chua.

Suspek keempat ditahan di kawasan Perindustrian Bukit Angkat Kajang dan sebuah kereta turut dirampas dalam penahanan itu.

“Sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna gelap dengan nombor pendaftaran WUJ 1485 yang digunakan semasa kejadian telah dirampas.

“Antara barangan yang turut dirampas termasuk sebuah teksi, wang tebusan RM291, 550, satu motosikal dan empat telefon bimbit,” katanya.

Abdul Samah juga berkata tiga suspek telah mengaku bersalah manakala seorang mengaku tidak bersalah.

“Suspek dijanjikan upah sebanyak RM10,000 bagi menjalankan perniagaan dan selepas bapa mangsa membayar wang tebusan terbabit kedua-dua suspek mendapat bayaran RM20,000 masing-masing,” katanya.

Tambahnya lagi, punca kejadian ialah selepas suspek mempunyai masalah kewangan.

Kanak-kanak itu selamat pulang ke pangkuan keluarga selepas selama 8 jam kes penculikannya menjadi viral di media sosial dan Whatsapp.

Dalam kejadian tersebut, kanak-kanak itu diculik di hadapan ibunya sendiri di luar sebuah tadika di Sungai Chua, Kajang. - Siakapkeli.my

Culik Kajang : 4 Ditahan, Wang Tebusan Berjaya Dirampas Kembali, Polis Dedah Punca Penculikan Culik Kajang : 4 Ditahan, Wang Tebusan Berjaya Dirampas Kembali, Polis Dedah Punca Penculikan Reviewed by Admin on 12:31:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.