Mirsudiar & Norieen Dibantu Oleh 'Tenrog'?



GUA MUSANG 10 Okt. – Umum mengetahui masyarakat Orang Asli mempunyai daya tahan yang tinggi sekiranya berada di dalam hutan kerana mereka dibesarkan di kawasan tersebut.

Namun ketahanan dua kanak-kanak masyarakat tersebut Mirsudiar Aluj, 11, dan Norieen Yaakob, 10, yang mampu hidup selama 47 hari tanpa makanan masih menimbulkan tanda tanya kerana berdasarkan pemandu pelancong yang berpengalaman di kawasan gua dan gunung, seseorang yang sesat dan tidak mempunyai kepakaran ilmu dalam hutan hanya dapat bertahan hampir 20 hari.

Kebanyakan penduduk di sekitar Pos Tohoi ketika ditemui Ming­guan Malaysia juga percaya dua kanak-kanak itu mampu bertahan meskipun sesat selama 47 hari di belantara kerana mendapat bantuan makhluk halus yang mendiami kawasan tersebut.

Seorang penduduk Pos Tohoi, Alex Long, 54, mendakwa, makhluk itu memang wujud dan antara 'kediaman' digemari mereka ialah pokok tualang, pokok merbau atau gua-gua batu kapur yang banyak terdapat di daerah ini.

Katanya, dalam kalangan ma­syarakat Orang Asli suku Temiar, penghuni hutan berkenan digelar ‘tenrog’ atau bunian dalam bahasa Melayu.

"Di sini, Gua Peraling paling dekat. Jika berjalan kaki, hanya ambil masa 10 minit sahaja dari penempatan kami. Gua ini ada penghuninya tetapi kami percaya mereka tidak buat kacau jika tidak diganggu.

"Mirsudiar dan Norieen mampu bertahan hidup lama mungkin kerana dibantu penghuni hutan ini. Mengikut kepercayaan kami, penghuni hutan memang suka berkawan dengan kanak-kanak," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Jemi Angah, 40, memberitahu, beberapa tahun lalu, dia dan seorang rakan pernah sesat selama 18 jam di kawasan hutan berhampiran Gua Peraling.

"Kami seolah-olah berlegar-legar di tempat sama sedangkan kawasan itu sering dilalui sebelum ini. Kami hampir berputus asa kerana kepenatan. Selepas saya minta penghuni hutan bantu, barulah kami terjumpa jalan ke kampung," katanya.

Menurut Jemi, masyarakatnya percaya terdapat pantang larang tertentu yang perlu dipatuhi jika manusia mahu memasuki kawasan hutan.

Kegagalan mematuhi pantang larang itu katanya, boleh menyebabkan penghuni hutan marah sehingga mengundang kejadian tidak diingini.

"Pantang larang paling utama jangan bercakap besar dan tinggalkan barang-barang kotor seperti tuala wanita dalam hutan. Selain itu, sebelum masuk hutan, minta kebenaran dulu," katanya.- Utusan

Mirsudiar & Norieen Dibantu Oleh 'Tenrog'? Mirsudiar & Norieen Dibantu Oleh 'Tenrog'? Reviewed by Admin on 1:12:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.