Lapan Dirham Rasulullah



Rasulullah SAW, seorang yang sangat bersederhana dan zuhud pada dunia. Sekalipun sebagai pemimpin tertinggi, Rasulullah tidak pernah sama sekali mengambil kesempatan untuk hidup mewah, apatah lagi bermegah-megah dengan kekayaan hasil umat Islam. Kehidupan sehariannya hanya cukup-cukup makan dan jika tiada apa-apa, baginda lebih suka berpuasa.

Suatu hari, rezeki Rasulullah mendapat sebanyak lapan dirham. Dengan bekalan itu, baginda berniat untuk membeli pakaian dan peralatan rumahtangga. Dalam perjalanan ke pasar, Rasulullah terserempak dengan seorang wanita yang kelihatan sugul dan sedang menangis.

“Apakah wanita ini sedang ditimpa musibah sehingga dia menangis di jalanan begini?” Rasulullah bertanya sendiri.

Lantas sebagai pemimpin yang prihatin, Rasulullah bertanya dan wanita itu menjawab dengan linangan air mata.

“Aku ini seorang hamba suruhan. Aku baru saja kehilangan wang dua dirham milik majikanku. Aku bimbang sekali kalau-kalau majikanku akan memukulku kelak kerana cuai. Bagaimana ya Rasulullah?”

Tanpa berlengah lagi, Rasulullah terus mengeluarkan wang dua dirham dan memberikannya kepada wanita itu.

Dengan wang yang tinggal enam dirham, Rasulullah membeli sehelai gamis, pakaian kesukaannya. Baginda merasa gembira kerana setelah sekian lama, baru sekali ini baginda mendapat peluang menggantikan pakaiannya yang lama.

Baru beberapa langkah meninggalkan pasar, baginda terdengar pula teriakan seorang lelaki tua yang fakir.

“Wahai sekalian orang, sesiapa ikhlas memberiku sedekah pakaian, nescaya Allah akan mendandaninya kelak. “

Rasulullah berpatah balik. Benar, dilihatnya lelaki itu memakai pakaian yang nampak lusuh dan tidak berganti. Baginda merasa belas melihat lelaki itu dan melepaskan gamis baru yang dipakai. Dengan seikhlas hati, Rasulullah memberikan gamis barunya kepada peminta sedekah itu tanpa merasa rugi sedikit pun.

Begitulah Rasulullah, insan mulia yang tidak langsung memandang kesenangan dunia. Habislah wang lapan dirhamnya hanya dengan membantu orang lain dan mengorbankan keinginan diri sendiri.

Namun, perjalanan pulang Rasulullah membuatkan dia sekali lagi terserempak dengan wanita pertama yang dibantu tadi. Kali ini, wanita itu mengadu pula kerana takut majikan menghukumnya kerana pulang lewat.

Dengan senang hati, baginda menemankan hamba wanita itu pulang. Tiba di rumah yang dimaksudkan, Rasulullah memberikan salam.

Kedatangan Rasulullah disambut baik oleh majikan wanita itu walaupun dalam masa yang sama mereka merasa terkejut. Masakan Rasulullah sanggup menemankan pulang seorang hamba yang tidak setaraf dengan baginda?

Tetapi kemuliaan baginda sebagai pemimpin sangat jelas. Baginda bertanggungjawab terhadap kesusahan rakyatnya dan kerana itulah baginda bersabda,

“Jika wanita suruhan ini salah dan perlu dihukum, biarlah aku saja yang menerima hukuman.”

Mendengar kata-kata Rasulullah yang mulia itu, mereka terkesima dan merasa insaf. Dengan redha, mereka membalas,

“Wanita suruhan ini sudah merdeka kerana Allah.”

Berita itu disambut dengan penuh kesyukuran oleh Rasulullah dan juga wanita suruhan itu. Baginda bersabda,

“Tidaklah aku melihat lapan dirham yang begitu besar berkatnya, selain dari lapan dirham ini. Darinya Allah telah memberikan ketenteraman bagi orang yang sedang ketakutan, memberi pakaian orang yang memerlukan dan membebaskan seorang wanita suruhan.”
sumber

Lapan Dirham Rasulullah Lapan Dirham Rasulullah Reviewed by Admin on 2:10:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.