Mangsa, Puvanesvaran, 25, ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di tepi jalan, hanya beberapa meter dari pub yang sama di Jalan Stesen di sini, awal pagi ini.
Difahamkan, sebelum itu mangsa dikatakan berada dalam pub berkenaan sebelum berlaku pergaduhan dengan beberapa pihak menyebabkan mangsa dipukul.
Mangsa yang kesakitan dikatakan berlari keluar dari pub berkenaan untuk menyelamatkan diri. Bagaimanapun meninggal dunia hanya beberapa meter dari lokasi pub itu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, Bilik Gerakan IPD Klang Selatan menerima maklumat kira-kira jam 3.49 pagi daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki ditemui terbaring di tepi jalan.
Pihak hospital katanya, yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Kita dapati mangsa maut dalam keadaan terbaring dengan kepala dan muka berlumuran darah selain terdapat pecahan botol-botol arak dan kaca bertaburan di sekeliling mayat mangsa,” katanya.
Berdasarkan siasatan polis, beliau berkata, mangsa terlibat dalam pergaduhan ketika berada dalam pub berkenaan menyebabkan mangsa dipukul beramai-ramai dipercayai oleh sekumpulan lelaki.
“Siasatan Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor mendapati, mangsa mengalami kecederaan di kepala kiri dipercayai dipukul dengan sejenis peralatan tumpul,” katanya.
Buat masa ini, Mohamad berkata, tiga lelaki masing-masing berusia 35 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Polis giat mengesan suspek lain yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu,” katanya yang tidak menolak kemungkinan punca kejadian itu adalah bermotifkan dendam. - SinarHarian
Maut Dipukul Beramai-Ramai, Dipercayai Dendam
Reviewed by Admin
on
9:00:00 PG
Rating: