BANDA ACEH: Gempa bumi dengan kekuatan 8.5 skala Richter yang melanda Aceh, 11 April lalu menyebabkan sebahagian paras daratan di beberapa bahagian di Pulau Simeulue, satu daripada kawasan di wilayah autonomi itu naik hingga 0.5 meter.
Ketua Jabatan Polis Simeulue, Parluatan Siregar, berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kawasan yang dilaporkan ‘tersembul’ dan sedang membuat penyiasatan.
“Ia memerlukan pakar untuk membuat kajian lanjut. Namun, tidak dinafikan paras air laut yang biasa sudah berubah sejak gempa bumi landa, cuma sama ada ia berpunca daripada paras air yang menurun atau daratan yang naik belum dapat dipastikan.”
Seorang penduduk di daerah Busung, Simeulue Timur, Ilham, berkata berdasarkan pemerhatiannya, memang ada kesan daratan yang naik di wilayah itu.
“Sebagai contoh, tempat yang biasanya digunakan nelayan tempatan untuk menambat sampan sebelum ini, tiba-tiba sudah berada di daratan.
“Dalam keadaan biasa sampan tidak pernah terkandas jika ditambat di kawasan ini walaupun ketika air surut, tetapi sekarang tidak lagi. Selain itu, paras air laut di beberapa bahagian pulau juga turun dan ini memberi isyarat bahawa bahagian daratan sudah naik,” katanya.
Ilham menganggarkan paras daratan naik kira-kira 0.5 meter atau lebih rendah, manakala kesannya memerlukan penyelidikan lanjut.
Fenomena sama pernah berlaku ketika gempa bumi terkuat melanda Pulau Nias pada 2005 yang mengorbankan lebih 600 nyawa, apabila pantainya menjadi condong, manakala sebahagian kawasan laut berubah menjadi daratan, dipercayai berpunca daripada pergerakan plet bumi.
Kejadian gempa di Simeulue tidak menyebabkan kemalangan jiwa, tetapi merosakkan beberapa bangunan milik kerajaan.
Sementara itu Ketua Pusat Data dan Maklumat Agensi Menangani Bencana Kebangsaan (BNPB) Purwo Nugroho berkata paras air laut didapati meningkat di kawasan Nias Utara dan Meulaboh selepas gempa bumi melanda wilayah itu Rabu lalu tetapi tidak mencetuskan tsunami.
“Data yang diperoleh BNPB menunjukkan kenaikan paras permukaan laut hingga satu meter di Lahewa, Nias Utara dan 1.02 meter di Meulaboh, Banda Aceh,” katanya kepada wartawan.
Beliau berkata, walaupun gempa bumi terbaru dikategorikan sebagai kuat, tsunami yang berlaku tidak besar.
“Maklumat yang diperoleh daripada Agensi Meteorologi dan Geofizik (BMKG) menunjukkan, tsunami berjaya dikesan di wilayah Sabang apabila paras air naik 0.06 meter, manakala di Meulaboh ketinggiannya mencapai 0.8 meter,” katanya.
Nugroho berkata berpuluh ribu penduduk Aceh, di kawasan terjejas yang berpindah ke kawasan lebih tinggi sudah kembali ke rumah masing-masing, manakala aktiviti seharian pulih seperti biasa.
“Bagaimanapun, kami menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada. Pihak kami akan meneruskan pemantauan mengenai kemungkinan gempa bumi berlaku lagi,” katanya. – Agensi
Tanah Naik 0.5 Meter Selepas Gempa
Reviewed by Admin
on
8:55:00 PTG
Rating: