Aku antara manusia yang amat rajin berbual dengan peminta sedekah dan pengemis. Wang yang diberikan itu rahsia, cuma perbualan itu perlu aku sampaikan kepada anda semua. Isu peminta sedekah dan pengemis ini hampir berkait dengan pemerdagangan manusia, iaitu menggunakan manusia secara paksaan untok mencapai keuntungan seorang pihak.
Bulan lepas, aku makan Burger Bakar Abang Burn di Shah Alam, kemudian semasa menjamu selera, kami didatangi oleh seorang budak perempuan berbaju batik bewarna hijau tua. Dia membawa tabung, sebotol ubat dan begnya penuh dengan kotak ubat. Aku renung sedalam-dalam wajah budak perempuan ini hingga dia berasa tidak selesa. Wajah dia kelihatan menyampah diperlakukan sebegitu, mungkin dia berfikir aku ingin mengurat dia, padahal aku mahu memerhatikan sifat luarannya.
Dari segi luaran, tubuhnya sihat, tetapi penat. Cantik, tetapi gelap. Tersenyum tetapi bersedih. Ini menandakan ada satu tolakan dalam jiwanya.
Oleh kerana dia tidak selesa dengan aku, dia pun bercakap dengan sahabat aku. Dia kata dia berasal daripada sekolah agama di Kedah. Dia menunjokkan 'resit' kosong sekiranya ada pembeli yang ingin membeli ubatnya, bercop Maahad apa entah, aku pun lupa. Dia mempromosikan ubat tersebut, namun wajahnya kelihatan benar-benar terpaksa melakukan kerja itu. Dia seperti berharap agar kami tidak membeli ubat itu.
Sahabat aku menghulur wang, kemudian perempuan itu memandang aku. Aku berpura-pura mengeluarkan dompet, kemudian terus bertanya,
"Betul ke awak ni asal daripada Maahad kat Kedah ni?"
"Ya la bang. Kan saya dah tunjuk resit tadi."
"Memang Maahad ni ada kat Kedah je lah ya?"
"Ya.Dia memang ada satu je. Kat Kedah."
"Tak sekolah ke hari ni?"Aku menguji.
"Hari ni kan hari Ahad. Mana ada orang sekolah hari Ahad."
Dah 1-0. Sekolah dibuka hari Ahad hingga Khamis dan bercuti pada Jumaat dan Sabtu di Kedah.
"Habis tu, macam mana awak boleh ada kat sini? Balik macam mana ni?"
"Malam ni saya baliklah." Wajahnya kelihatan geram dan meluat melihat wajah aku. Ini tanda yang baik untok dia bercakap benar."
"Balik mana?"
"Balik sekolahlah."
"Naik apa?"
"Naik kereta. Ada orang hantar. Cepatlah,Bang. Orang lain nak beli juga ubat ni." Apa yang aku perasan, matanya sekejap-sekejap memandang ke luar tempat makan. Dalam pada masa yang sama, aku terperasan seorang lelaki sedang berdiri seperti menunggu order, tetapi tidak. Dia memandang gerak geri kami.
"Naik kereta nak balik ke Kedah?"
"Abang ni gila ke apa? Balik KL lah! Sekolah ni ada cawangan kat sini."
"Eh, kata ada satu je kat Kedah? Macam mana boleh ada cawangan pula? Korang ni sekolah apa sebenarnya? Siapa yang hantar awak kat sini? Cikgu?"
Dia senyap. Tetapi mukanya seperti marah. Aku hanya tersengih.
"Kenapa kamu dipaksa buat macam ni? Sejak bila kamu buat kerja macam ni?" Aku terus pressure dia.
Dia diam seribu bahasa dengan wajah yang merah padam. Tetapi oleh kerana aku perasan lelaki tersebut mahu ke arah kami, aku terus memberi wang kepada budak perempuan itu. Tanpa mengucapkan terima kaseh, dia terus pergi ke meja lain. Lelaki itu berhenti, kemudian berpatah balik ke tempat order, sambil memerhatikan budak perempuan itu.
Beberapa minggu kemudian, aku mengisi minyak di R&R Seremban, datang seorang budak perempuan, berpakaian sama dengan budak perempuan yang aku jumpa tadi.
"Bang..Saya ada jual buku."
Aku bertanya, "Kamu ni dari mana?"
"Saya dari Maahad di Kedah." Dia tunjokkan resitnya. Sama dengan budak perempuan hari itu.
Dalam hati aku ketika itu, ini merupakan sindiket paling hina di Malaysia. Menggunakan agama bagi kepentingan, itu satu hal. Menggunakan budak perempuan naif, satu hal. Menggunakan budak yang memerlukan pendidikan sempurna, satu hal lagi. Apabila melihat pengemis atau penjual seperti ini, fikiran aku pasti menerobos filem Slumdog Millionaire, yang benar-benar menunjukkan cara sindiket ini berlaku.
Cari kanak-kanak susah, kemudian culik, kemudian dihantar ke negara-negara luar atau negeri yang jauh, kemudian mereka 'ditugaskan' untok membuat kerja seperti mengemis, menjual barang agama dan menyanyi di tepi jalan. Setiap hari, tanpa rehat. Semua hasil sedekah itu dirembat oleh sindiket berkenaan.
Bayangkan sekiranya dalam sehari, di seluruh Malaysia, sindiket tersebut menghantar 400 orang pengemis mereka. Setiap daripada mereka membawa pulang hasil RM1000. Berapa keuntungan team sindiket ini dalam sehari? Hampir RM400k. Itu belum lagi dengan keuntungan yang lain. Apa yang 400 pengemis ini dapat? Hanya lauk tengah hari, dan makan malam sahaja.
Mereka akan diberikan tugasan, setiap orang perlu membawa pulang hasil minima RM500. Sekiranya mereka tidak berjaya, mereka akan diseksa dan didenda.
Di Malaysia, sekiranya kita melihat anak-anak Melayu yang meminta sedekah secara 'ada team' ini, mereka adalah bayi yang pernah diculik tidak lama dahulu. Apabila mereka remaja, mereka dipaksa meminta sedekah. Namun, jangan terkejut, peminta sedekah ini, apabila mereka dewasa, mereka akan menjadi pelacur pula.
Sindiket Pemerdagangan Manusia amat serius dalam masyarakat. Setiap hari ada kanak-kanak dan bayi hilang tanpa dikesan. Itu tanda bahawa mereka yang hilang itu sudah dijadikan 'modal' sesetengah sindiket untok kepentingan sendiri.
Moga Allah menjauhkan sejauh-jauhnya berlaku pada saudara mara kita, adik-adik kita, keturunan kita dan sesiapa sahaja. Amin.
Pemerdagangan Manusia Yang Amat Parah
Reviewed by Admin
on
11:19:00 PTG
Rating: