Bukan itu sahaja, gaya dan aksinya di depan lensa kamera juga begitu menawan dengan pose yang menarik, sesuai dengan statusnya sebagai pelakon dan model.
“Tidak semestinya wanita yang berhijab tidak boleh bergaya atau kelihatan lebih moden.
“Bagi saya, setiap wanita yang berhijab tidak perlu takut untuk tampil cantik, asalkan perlu menutup aurat,” ujarnya memulakan bicara.
Berkongsi tentang perubahan yang berlaku terhadap dirinya itu, Sarah menyatakan niatnya untuk berhijab sudah lama terpendam di hati. Namun begitu, ia akhirnya terlaksana kira-kira dua bulan lalu.
Menganggap keputusan yang dibuatnya itu merupakan satu langkah yang cukup tepat, Sarah yang kelihatan cukup ceria sepanjang sesi fotografi menyatakan dia begitu gembira dengan dirinya sekarang.
“Secara kebetulan saya banyak berlakon dalam drama yang memerlukan saya tampil berhijab pada tahun lalu. Apabila mengenakan hijab semasa menjalani penggambaran, saya dapat rasakan keadaan yang cukup tenang dalam diri saya.
“Lama-kelamaan telah timbul kesedaran dalam diri untuk berhijab dan dilakukan secara berperingkat. Kemudian saya telah berhijab sepenuhnya pada bulan Februari lalu,” jelasnya.
Bagaimanapun, pelakon itu menafikan sekeras-kerasnya bahawa tindakannya itu berpunca daripada hubungan percintaannya yang telah putus dengan Ammar Alfian.
Tegasnya, segala keputusan yang dibuat itu langsung tidak dipengaruhi dengan perkara tersebut, malah mengakui hidupnya kini lebih tenang dan gembira tanpa kekasih.
“Saya tahu memang ramai yang menyangka saya berhijab kerana putus cinta. Namun begitu, perkara tersebut tidaklah benar kerana saya bertudung atas kerelaan hati sendiri.
“Biarlah apa yang orang nak cakap tentang penampilan saya kerana yang paling penting saya sudah cukup bahagia dengan kehidupan sekarang dan keluarga juga gembira dengan perubahan ini,” ujarnya.
Ketika ditanya tentang kenyataan yang dibuat oleh bekas kekasihnya itu menerusi laman sosial Twitter tentang sindiran terhadap dirinya yang sudah berhijab, Sarah menyatakan dia langsung tidak tahu mengenainya.
Jelasnya, dia sendiri mendapat tahu perkara tersebut apabila membaca laporan sebuah portal baru-baru ini. Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk berdiam diri dan tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak mahu berpanjangan.
“Saya tidak kisah sama ada kenyataannya itu ditujukan kepada saya atau orang lain. Sekarang ini saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan dirinya dan biarlah saya terus dengan kehidupan baharu sekarang ini,” ujarnya.
Menurut Sarah, semenjak hubungan percintaannya dengan Ammar putus pada Disember tahun lalu, dia sudah tidak lagi menghubungi bekas kekasihnya itu.
Tiada pengganti
Memandangkan statusnya yang kini sudah solo setelah hubungan cintanya putus di tengah jalan, Sarah turut ditebak sama ada dia sudah menemui pengganti yang mengisi kekosongan hatinya.
Menjawab tentang persoalan tersebut, pelakon itu secara terus terang masih belum berjumpa dengan lelaki yang sesuai, malah dia sendiri tidak mahu terburu-buru untuk kembali bercinta.
“Sekarang saya rasa selesa kerana tidak lagi rasa terkongkong dan bebas untuk melakukan apa sahaja yang saya suka. Kini, hidup saya tidak lagi terikat dan terlalu tertumpu kepada cinta seperti sebelum ini.
“Semua yang berlaku dalam kehidupan saya akan menjadi pengajaran yang paling bermakna. Kalau boleh saya mahu melupakan segala kenangan silam dan ingin membuka lembaran baharu dalam kehidupan saya,” jelasnya.
Berkenaan dengan pengganti pula, dia menyatakan semuanya terserah pada jodoh dan buat masa ini dia lebih selesa bergelar solo. Sekiranya sudah tiba masanya, dia akan tetap berumah tangga dan berharap dapat bertemu dengan seorang lelaki yang baik dan boleh membimbingnya.
“Sebelum ini saya bercinta dalam tempoh yang agak lama iaitu selama lima tahun, tetapi jodoh saya dan Ammar tidak ada. Jadi, saya berasa percintaan kami agak sia-sia dan seperti membuang masa memandangkan usia saya sudah 28 tahun.
“Pada masa akan datang kalau saya sudah berjumpa dengan lelaki yang sesuai, saya akan terus berkahwin tanpa bercinta lama-lama dan rasanya itu langkah yang paling sesuai,” jelasnya yang tidak meletakkan sebarang tempoh tertentu untuk mendirikan rumah tangga.
Berlakon
Biarpun kini sudah tampil berhijab, Sarah menyatakan ia langsung tidak menghalang dirinya meneruskan aktiviti lakonan dan kini tawaran yang diterimanya semakin banyak.
“Ada orang yang menyangka kalau saya berhijab tentu penerbit atau pengarah tidak panggil saya berlakon lagi. Ternyata sangkaan itu meleset kerana kini tawaran yang diterima mencurah-curah sehingga saya terpaksa lebih selektif.
“Selain itu, rezeki saya juga bertambah murah kerana telah dilantik menjadi duta dua produk iaitu Malady Couture untuk tudung dan produk kecantikan Clayrissa,” jelasnya.
Namun begitu, pelakon itu mendedahkan bahawa dia sebenarnya mahu mengurangkan aktiviti lakonan dan lebih banyak menerima tawaran berlakon telefilem berbanding drama bersiri.
Ujarnya, langkah tersebut dilakukan sebagai salah satu cara untuk dia bersara terus daripada bidang seni kerana berkeinginan untuk mencari kerjaya tetap.
“Saya akui lakonan bukanlah menjadi keutamaan dalam kehidupan saya dan tidak kisah kalau tiada lagi tawaran berlakon. Lagipun saya mempunyai ijazah dan lebih baik saya gunakannya untuk menceburi bidang kerjaya yang lain pula.
“Dulu saya pernah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Perancis, tetapi saya tolak semata-mata kerana mahu berlakon. Jadi, saya tidak mahu ulangi kesilapan yang sama,” ujar pemegang Diploma Pengurusan Hotel dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam Selangor ini.
Selain mahu mempunyai kerjaya tetap, pelakon itu memberitahu dia mempunyai rancangan untuk membuka sebuah butik pakaian Muslimah bersama ibu dan seorang rakannya. - Kosmo
Hijrah Puteri Sarah Liyana
Reviewed by Admin
on
11:28:00 PTG
Rating: