Langit Malaysia Akan Diterangi Hujan Meteor Geminids



KUALA LUMPUR: Langit Malaysia akan diterangi jura­ian hujan meteor Geminids mulai 3 hingga 17 Dis ini, menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) se­malam.

Dianggarkan, kira-kira 120 juraian meteor sejam dapat di­lihat pada masa kemuncaknya yang bermula dari awal pagi 13 Dis hingga 14 Dis ini.

“Titik meteor Geminids adalah daripada buruj Gemini yang berada di langit Malaysia sejak September lepas hingga April tahun depan.

“Pada tahun ini, kenam­pakannya tidak begitu baik kerana waktu kemunculan­nya sama dengan fasa Bulan hampir purnama (91 peratus penuh),” demikian menurut kenyataan itu.

Mereka yang berminat menyaksikan hujan meteor boleh berbuat demikian den­gan memandang ke arah timur laut selepas waktu tengah malam hingga subuh di ka­wasan lapang dan gelap.

Bagaimanapun, keadaan cerah langit oleh cahaya bulan akan mengehadkan kenampa­kan meteor kepada 50 hingga 80 meteor sejam.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang menyaksikan planet Musytari, Marikh, Bu­ruj Belatik, Taurus, Gemini, Cassiopeia, Pegasus, Canis, Major, Leo, Virgo dan Gugu­san Bintang Tujuh (Pleiades) dengan mata kasar.

Mereka yang mempunyai teleskop juga boleh menyak­sikan ‘Great Orion Nebula’.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh meng­hubungi Planetarium Negara di talian 03-22734303 atau 03-22734301. — Bernama


Langit Malaysia Akan Diterangi Hujan Meteor Geminids Langit Malaysia Akan Diterangi Hujan Meteor Geminids Reviewed by Admin on 12:46:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.