Kebijaksanaan Sultan Nazrin Bantu Institusi Raja


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah - Foto Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia.

IPOH - Kebijaksanaan dan keperibadian serta pekerti tinggi dimiliki Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pastinya dapat membantu dalam memperkukuhkan institusi raja di negara ini.

Terkenal sebagai sultan yang sentiasa melontarkan idea-idea bernas selain teguran membina, pemilihan Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong merupakan berita gembira buat seluruh rakyat Perak.

Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid berkata, beliau mewakili penduduk Bandar Diraja itu amat berbangga dengan pemilihan Sultan Nazrin yang terkenal sebagai pemimpin yang bersikap rendah diri dan berjiwa rakyat.

"Pemilihan tersebut akan memberi satu sejarah yang sangat cemerlang di negara ini. Kami mendoakan kesejahteraan tuanku," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sultan Nazrin Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Ketua Penerangan Veteran Umno Perak Datuk Mohd Sani Supi pula berkata Veteran Umno Perak merafakkan sembah setinggi tahniah atas pemilihan Sultan Nazrin dan pastinya seluruh rakyat berasa bangga.

"Sebagai ilmuan tersohor dan berkeperibadian terpuji, tuanku akan menambah wibawa dan kemuliaan kepada Institusi Raja Berperlembagaan di negara ini. Semoga perlantikan itu mendapat keberkatan Allah," katanya.

Di KUALA KANGSAR, Imam Utama Masjid Diraja Ubudiah, Abdul Hadi Khadri,43, berkata pemilihan Sultan Nazrin untuk jawatan tersebut amat membanggakan rakyat Perak amnya serta penduduk Kuala Kangsar khasnya.

"Dengan keperibadian dan pendidikan yang tinggi, kami rakyat Perak percaya baginda dapat menyumbang khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Senada dengan Abdul Hadi adalah pesara guru, Nazri Osman,81, yang berkata Sultan Perak itu sememangnya dikenali sebagai seorang pemimpin yang berdisiplin dan bijaksana.

"Saya tinggal di Kuala Kangsar sejak lahir. Sepanjang hayat, saya sudah melihat lima sultan memerintah Perak dan pastinya pemilihan Sultan Nazrin sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu," katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Sharom Abd Malik pula berkata sebagai seorang pencetus idea yang unggul, Sultan Nazrin pastinya dapat melontarkan lebih banyak saranan untuk membawa negara ke tahap lebih cemerlang.

Di TELUK INTAN, pesara tentera Mohd Nordin Tuah,76, turut berkongsi rasa bangga dan teruja dengan pemilihan Sultan Nazrin selain menaruh keyakinan baginda akan mencurahkan khidmat terbaik kepada agama, bangsa dan negara.

Bagi Nelson Chua, 39, Sultan Nazrin bukan sahaja memiliki kebijaksanaan yang mengagumkan, malah sering turun padang untuk mendekati rakyat.

"Dengan pemilihan baginda, pastinya kerja-kerja akan mudah, licin kerana baginda mempunyai kelulusan yang sangat tinggi," katanya. – Bernama

Kebijaksanaan Sultan Nazrin Bantu Institusi Raja Kebijaksanaan Sultan Nazrin Bantu Institusi Raja Reviewed by Admin on 9:13:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.