Rahsia Senyuman Rasulullah



Ketika anda membuka lembaran sirah kehidupan Muhammad saw., anda tidak akan pernah berhenti kagum melihat kemuliaan dan kebesaran peribadi beliau saw. Sisi kebesaran itu kelihatan dari sikap seimbang dan selaras dalam setiap perilakunya, sikap beliau dalam menggunakan segala media untuk meluluhkan kalbu setiap orang dalam setiap kesempatan.

Media paling besar yang dilakukan Muhammad saw. dalam dakwah dan perilaku beliau adalah, gerakan yang tidak memerlukan kos yang besar, tidak memerlukan tenaga berlebihan, meluncur dari bibir untuk seterusnya masuk ke lubuk hati yang sangat dalam.

Jangan anda tanyakan keberkesanannya dalam mempengaruhi akal fikiran, menghilangkan kesedihan, membersihkan jiwa, menghancurkan tembok penghalang di antara anak manusia!. Itulah ketulusan yang mengalir dari dua bibir yang bersih, itulah senyuman!

Itulah senyuman yang dicatat dalam Al Qur’an tentang kisah Nabi Sulaiman as, ketika Ia berkata kepada seekor semut,

“Maka dia tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: “Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; Dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh”. An Naml:19

Senyuman itulah yang sentiasa keluar dari bibir mulia Muhammad saw., dalam setiap perilakunya. Beliau tersenyum ketika bertemu dengan sahabatnya. Semasa beliau menahan amarah atau ketika beliau berada di majlis peradilan sekalipun.

Diriwayatkan dari Jabir dalam sahih Bukhari dan Muslim, berkata, “Sejak aku masuk Islam, Rasulullah saw tidak pernah menghindari dariku. Dan beliau tidak melihatku kecuali beliau pasti tersenyum kepadaku.”

Suatu ketika Muhammad saw. didatangi seorang Arab Badwi, dengan serta merta ia berlaku kasar dengan menarik selendang Muhammad saw., sehingga leher beliau membekas merah. Orang Badwi itu bersuara keras, “Wahai Muhammad, perintahkan sahabatmu memberikan harta dari Baitul Maal! Muhammad saw. menoleh kepadanya lalu tersenyum. Kemudian beliau menyuruh sahabatnya memberi harta dari baitul maal kepadanya.”

Ketika beliau memberi hukuman keras terhadap orang-orang yang terlambat dan tidak ikut serta dalam perang Tabuk, beliau masih tersenyum mendengarkan alasan mereka.
Ka’ab ra. berkata setelah mengungkapkan alasan orang-orang munafik dan sumpah palsu mereka:
“Saya mendatangi Muhammad saw., ketika saya mengucapkan salam kepadanya, beliau tersenyum, senyuman orang yang marah. Kemudian beliau berkata, “Kemari. Maka saya mendekati beliau dan duduk di depan beliau.”

Suatu ketika Muhammad saw. melintasi masjid yang di dalamnya ada beberapa sahabat yang sedang membicarakan masalah-masalah jahiliyah terdahulu, beliau lewat dan tersenyum kepada mereka.

Beliau tersenyum dari bibir yang lembut, mulia nan suci, sampai akhir detik-detik hayat beliau.
Anas bin Malik berkata diriwayatkan dalam sahih Bukhari dan Muslim, “Ketika kaum muslimin berada dalam solat subuh, di hari Isnin, sedangkan Abu Bakar menjadi imam mereka, ketika itu mereka dikejutkan oleh Muhammad saw. yang membuka hijab bilik Aisyah. Beliau melihat kaum muslimin sedang dalam shaf shalat, kemudian beliau tersenyum kepada mereka!”

Sehingga tidak menghairankan beliau mampu meluluhkan kalbu sahabat-sahabatnya, isteri-isterinya dan setiap orang yang berjumpa dengannya!

Menyentuh Hati

Muhammad saw. telah meluluhkan hati siapa saja dengan senyuman. Beliau mampu “menyihir” hati dengan senyuman. Beliau menumbuhkan harapan dengan senyuman. 
Beliau mampu menghilangkan sikap keras hati dengan senyuman. Dan beliau saw. mensunnahkan dan memerintahkan umatnya agar menghiasi diri dengan akhlak mulia ini. 
Bahkan beliau menjadikan senyuman sebagai tempat berlumba dalam kebaikan. Rasulullah saw. bersabda,
“Senyummu di depan saudaramu adalah sedekah.” At Tirmidzi dalam sahihnya.

Meskipun sudah sangat jelas dan terang petunjuk Nabi dan praktik beliau secara terus ini, namun anda masih banyak melihat sebahagian manusia masih berlaku keras terhadap anggota keluarganya, tehadap rumah tangganya dengan tidak melebarkan senyuman dari bibirnya dan dari ketulusan hatinya.

Anda merasakan bahawa sebahagian manusia -kerana bersikap marah dan muka masam- mengira bahawa giginya bahagian dari aurat yang harus ditutupi! Di mana mereka di depan petunjuk Nabi yang agung ini! Sungguh jauh mereka dari contoh Nabi muhammad saw.!

Ya, kadang anda melepasi jam-jam anda dengan dirundung duka, atau disibukkan beragam pekerjaan, akan tetapi anda selalu bermuka masam, marah dan menahan senyuman yang merupakan sedekah, maka demi Allah, ini adalah perilaku keras hati, yang semestinya tidak terjadi. Wal iyadzubillah.

Pengaruh Senyum

Sebahagian manusia ketika berbicara tentang senyuman, mengaitkan dengan pengaruh psikologi terhadap orang yang tersenyum. Namun, seorang muslim memandang hal ini dengan kaca mata lain, iaitu kaca mata ibadah, bahawa tersenyum adalah bahagian dari mencontohi Nabi saw. yang disunnahkan dan bernilai ibadah.

Para pakar dari kalangan muslim mahup un non muslim melihat seuntai senyuman sangat besar pengaruhnya.

Dale Carnegie dalam bukunya yang terkenal, “Bagaimana Anda Mendapatkan Teman dan Mempengaruhi Manusia” menceritakan:

“Wajah merupakan cermin yang tepat bagi perasaan hati seseorang. Wajah yang ceria, penuh senyuman semulajadi, senyum tulus adalah sebaik-baik media memperolehi teman dan kerja sama dengan pihak lain. Senyum lebih berharga dibanding sebuah pemberian yang dihadiahkan seorang lelaki. Dan lebih menarik dari lipstik dan bedak yang melekat di wajah seorang wanita. Senyum bukti cinta tulus dan persahabatan yang murni.”

Ia meneruskan, “Saya minta setiap mahasiswa saya untuk tersenyum kepada orang tertentu sekali setiap bandarnya. Salah seorang mahasiswa datang bertemu dengan peniaga, ia berkata kepadanya, “Saya pilih tersenyum kepada isteriku, ia tidak tahu sama sekali perihal ini. 
Hasilnya adalah saya menemui kebahagiaan baru yang sebelumnya tidak saya rasakan sepanjang akhir tahun-tahun ini. Yang demikian menjadikan saya senang tersenyum setiap kali bertemu dengan orang. 
Setiap orang membalas penghormatan kepada saya dan bersegera melaksanakan khidmat -pelayanan- kepada saya. Kerana itu saya merasakan hidup lebih ceria dan lebih mudah.”

Kegembiraan meluap ketika Carnegie menambahkan, “Ingatlah, bahawa senyum tidak memerlukan kos sedikitpun, malah membawa kesan yang luar biasa. Tidak akan menjadi miskin orang yang memberinya, justeru akan menambah kaya bagi orang yang mendapatkannya. Senyum juga tidak memerlukan waktu yang berlarutan, namun membekas kekal dalam ingatan sampai akhir hayat. Tidak ada seorang fakir yang tidak memilikinya, dan tidak ada seorang kaya pun yang tidak memerlukannya.”

Betapa kita sangat memerlukan sosialisasi dan penyedaran petunjuk Nabi yang mulia ini kepada umat. Dengan niat taqarrub ilallah -pendekatan diri kepada Allah swt.- lewat senyuman, dimulai dari diri kita, rumah kita, bersama isteri-isteri kita, anak-anak kita, teman sepejabat kita. Dan kita tidak pernah merasa rugi sedikit pun! Bahkan kita akan rugi, rugi dunia dan agama, ketika kita menahan senyuman, menahan sedekah ini, dengan selalu bermuka masam dan marah dalam kehidupan.

Pengalaman membuktikan bahawa kesan positif dan efektif dari senyuman, iaitu senyuman menjadi pendahuluan ketika hendak meluruskan orang yang keliru, dan menjadi muqaddimah ketika mengingkari yang munkar.

Orang yang selalu masam tidak mensengsarakan kecuali dirinya sendiri. Bermuka masam bererti mengharamkan menikmati dunia ini. Dan bagi siapa sahaja yang mahu menebar senyum, selamanya ia akan senang dan gembira. Allahu a’lam.

Rahsia Senyuman Rasulullah Rahsia Senyuman Rasulullah Reviewed by Admin on 4:20:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.