Encik Adil Hakeem Mohamad Rafee, 19 tahun, bekas penuntut Maktab Rendah Raffles (RJC), menjadi anak Melayu kedua dalam sejarah Singapura menerima biasiswa unggul itu.
Kali terakhir seorang anak Melayu terpilih bagi menerima biasiswa ini adalah 44 tahun lalu.
Encik Adil, anak sulung keluarga dua beradik juga merupakan salah seorang penerima Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) bulan lalu.
Biasiswa Presiden, anugerah terulung dalam bidang pendidikan negara, diperkenalkan pada 1964.
Ketika itu ia dikenali sebagai Biasiswa Yang di-Pertuan Negara tetapi ditukar namanya kepada Biasiswa Presiden pada 1966, menyusuli kemerdekaan Singapura.
Pelajar Melayu/Islam pertama yang pernah menerima Biasiswa Presiden adalah Encik Ismail Ibrahim pada 1968.
Beliau adalah abang Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Dr Yaacob Ibrahim.
Dua pelajar Muslim lain juga pernah menerima Biasiswa Presiden itu.
Mereka adalah Encik Abdeen Aziz Tyebally pada 1971 dan Encik Mikail Kalimuddin pada 2005.
Ketika ditemui, Encik Adil mengaku beliau “tidak sangka berjaya menerima Biasiswa Presiden ini.”
“Dengan biasiswa ini, jangkaan orang ramai terhadap saya pastinya lebih tinggi tetapi saya berharap pencapaian saya dapat membanggakan masyarakat dan (saya dapat) berkhidmat bagi mereka,” ujarnya.
Encik Adil adalah antara lima pelajar tahun ini yang menerima biasiswa itu daripada Presiden Tony Tan Keng Yam dalam satu majlis di Istana, malam tadi.
Encik Adil kini tersenarai sebagai di antara sekitar 270 penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Negara dan Biasiswa Presiden, termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean, dan Pemangku Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan, Encik Chan Chun Sing.
Ditanya jika beliau bakal mengikut jejak langkah para menteri itu, Encik Adil berkata, beliau belum lagi memikirkan mengenainya namun yakin ingin berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
E”Kalau nak jadi menteri… ia bukan satu cita-cita tetapi perasaan tanggungjawab atau rasa ‘terpanggil’ untuk menjadi seorang menteri.
“Saya ingin membantu masyarakat dan dengan menyertai perkhidmatan awam saya dapat membantu mereka sebagai sebahagian pekerjaan saya dan bukan pada masa lapang sahaja,” kata anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa itu.
Encik Adil belum membuat keputusan berkenaan universiti pilihannya kerana beliau hanya akan melanjutkan pengajiannya tahun depan setelah berkhidmat dalam NS bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) selama setahun.
Namun beliau merancang menceburi jurusan undang-undang di Universiti Cambridge di Britain atau jurusan ekonomi dan politik di Universiti Yale di Amerika Syarikat.
Sebaik pulang ke Singapura, beliau akan menyelesaikan baki tempoh NS sebelum diikat bon enam tahun dengan perkhidmatan awam.
Anak pasangan pengurus dan pengurus kanan di sektor swasta itu juga menempa nama sebagai pelajar terbaik Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada 2005 dan pelajar Melayu terbaik bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’ tahun lalu.
Menyingkap antara faktor yang mendorong kejayaan Encik Adil itu, bapanya, Encik Mohamad Rafee Salleh, 51 tahun, memberitahu Berita Harian, ibu bapa memainkan peranan penting mengenalpasti kekuatan dan kelemahan setiap anaknya.
“Biasiswa (yang diraih Adil) ini jauh menjangkaui jangkaan kami tetapi kami bersyukur beliau dapat meraih pencapaian ini pada usia semudanya,” kata Encik Rafee.
Bagi Encik Adil pula, beliau ingin membantu anggota masyarakatnya agar lebih ramai anak Melayu dapat berkongsi tanggungjawab ‘membawa harapan masyarakat’ bersamanya.
“Tugas saya adalah bagi memastikan bahawa dalam masa 20 tahun mendatang, bukan saya seorang sahaja, tetapi lebih ramai lagi anak Melayu/Islam yang berjaya dan dapat memikul bersama harapan masyarakat kita,” kata Encik Adil.
Anak Melayu Pertama Dapat Biasiswa Selepas 44 Tahun
Reviewed by Admin
on
5:59:00 PTG
Rating: