Siapakah Pencipta Jalur Gemilang?



SEMASA hayatnya, Mohamed Hamzah merahsiakan beliaulah pencipta Jalur Gemilang, hingga ramai temannya sendiri tidak mengetahui perkara itu.

Hanya selepas kematiannya pada 1993, barulah adik beliau, Abu Bakar Hamzah (gambar), sekarang 73, mendedahkan secara terbuka perihal abangnya itu.

Jalur Gemilang menurutnya, mula dicipta pada 1947 apabila pemerintah masa itu mengadakan pertandingan mereka bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Mohamed yang ketika itu berusia 29 tahun tidak mahu melepaskan peluang keemasan tersebut untuk menonjolkan bakat melukisnya.

Bekas kakitangan Jabatan Kerja Raya Johor itu memang berbakat dalam bidang seni lukis dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam menyiapkan sesebuah lukisan.

“Saya masih ingat Allahyarham yang tamat persekolahan di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar) mengambil masa dua minggu mereka empat lakaran bendera untuk dihantar ke Kuala Lumpur.

“Dia tersenyum lebar ketika lakaran bendera diciptanya dipilih dan dipaparkan dalam akhbar-akhbar tempatan,” katanya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 19 Februari 1993, 14 hari sebelum genap usia 75 tahun di rumah keluarganya di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

Allahyarham pernah meminta adiknya Abu Bakar untuk merahsiakan dirinya pencipta Jalur Gemilang dan biarlah masyarakat mengetahuinya sendiri.

Namun setelah meninggal dunia, banyak pihak tidak bertanggungjawab mengaku mencipta Jalur Gemilang membuatkannya tampil bercerita kisah sebenar meskipun memungkiri janji kepada abangnya.

Kini, perkara itu telah terungkai tetapi Abu Bakar masih memendam rasa kecewa berikutan Allahyarham masih belum menerima pengiktirafan sewajarnya.

“Jalur Gemilang sudah sampai ke angkasa lepas malah yang membawanya turut mendapat pengiktirafan tinggi tetapi pencipta bendera bagai dipinggirkan,” katanya.

Ditanya mengenai bangunan terakhir yang direka Allahyarham, Abu Bakar berkata, dia tidak mengingatinya kerana terlalu banyak yang direka bentuk oleh Allahyarham.

Antaranya bangunan Dewan Jubli Intan, Menara Johor. Bagi mengenang jasa abangnya, beliau dan saudara-mara mengadakan kenduri arwah setiap Ogos serta melawat pusaranya di Kebun Teh, Johor Bahru.

Allahyarham mendirikan rumah tangga empat kali dan terakhir bersama Robani Daud. Mereka dikurniakan seorang anak, Mariam serta empat anak angkat; Khadijah, Azizah, Mohd. Ali dan Mohd. Seth.

Bagi Abu Bakar, bendera itu melambangkan kedaulatan negara. Sebab itulah beliau sedih apabila Jalur Gemilang tidak dihormati.

Antara isu menyedihkan termasuklah ia dipasang terbalik, sudah lusuh atau koyak.

“Saya pernah memarahi individu yang sengaja mengibarkan bendera separuh tiang,” katanya.
sumber

Siapakah Pencipta Jalur Gemilang? Siapakah Pencipta Jalur Gemilang? Reviewed by Admin on 9:14:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.