Kompleks Dedah Punca Sebenar Laksa Sarawak Dibuang



Sebuah pusat beli belah di Kuching mengakui cubaan mereka mencatat rekod Malaysia dengan menyiapkan laksa Sarawak sebagai suatu "kesilapan".

Mereka juga berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklum balas mengenai usaha berkenaan.

"Kami akan belajar daripada kesilapan. Jika kami mula mengabaikan kesilapan, kita tidak boleh menjadi lebih baik. Falsafah kami ialah memastikan kami melakukan sesuatu dengan betul, bukan menjadikan sesuatu itu betul. Ia hakikat sangat mudah," kata Pengurus Besar Plaza Merdeka, Cheah Kheng Mun.

Menurut Borneo Post, Cheah berkata demikian kepada media ketika mengagihkan 1,500 mangkuk laksa Sarawak kepada pengunjung kompelks beli belah berkenaan semalam.

Kelmarin Plaza Merdeka mencatat rekod dalam Malaysian Book of Records dengan menghasilkan laksa Sarawak raksasa membabitkan 600 kilogram bahan yang kemudian disiapkan menjadi 1,500 hidangan.

Bagaimanapun didapati seluruh hidangan itu dibuang selepas majlis berkenaan menyebabkan rasa tidak puas hati orang ramai.

Tambahan pula hidangan itu dianggap sebagai makanan istimewa Sarawak.

Kata Cheah keputusan membuang laksa Sarawak itu dibuat atas faktor keselamatan.

"Selepas ia dipamerkan, kami tidak boleh agihkan ia begitu saja kerana penasihat kami memberitahu kuahnya - daripada santan kelapa - mesti dikekalkan pada suhu tertentu.

"Menjelang jam 7 malam santan itu sudah basi dan laksa berkenaan perlu dilupuskan," katanya.

Sumber: Malaysia Kini

Kompleks Dedah Punca Sebenar Laksa Sarawak Dibuang Kompleks Dedah Punca Sebenar Laksa Sarawak Dibuang Reviewed by Admin on 8:47:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.