Punca Sebenar Tapak Projek I-City Diarah Tutup



SHAH ALAM - Sebuah tapak pembinaan tiga menara pangsapuri mewah di I-City, Seksyen 7 di sini, diarah tutup dan menghentikan operasi serta merta selama 14 hari selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan.

Dalam operasi bersepadu selama tiga jam diketuai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Selangor hari ini, syarikat pembinaan didapati tidak mematuhi syarat yang ditetapkan oleh agensi berkaitan.

Justeru, pengarahnya, Mohd Zaid Zakaria berkata, tindakan itu diambil sehingga syarikat tersebut mematuhi semua syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Selain CIDB, operasi yang bermula pukul 10.30 pagi itu, turut disertai antara lain Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Jabatan Keaselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Katanya, dalam pemeriksaan tersebut, pihaknya mendapati 11 daripada 30 syarikat kontraktor dan kontraktor kecil yang terlibat dengan projek pembinaan itu tidak memiliki Perakuan Pendaftaran Kontraktor yang sah manakala empat lagi tamat tempoh perakuan tersebut.

"Walaupun ia sebuah projek pembinaan yang ikonik di bandar raya ini, namun kita tetap jalankan operasi dan beberapa kompaun ke atas kontraktor terlibat turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya kepada pemberita di sini.

Mohd Zaid berkata, pemeriksaan PKD Petaling pula mendapati terhadap 10 kawasan pembiakan nyamuk aedes di tapak pembinaan tiga blok bangunan tersebut.

Selain itu, pihaknya mendapati ramai pekerja asing dikesan tidak memiliki kad perakuan pekerja binaan atau Kad Hijau CIDB.

"Ini kali pertama CIDB memeriksa tapak projek I-City...kita harap selepas ini kontraktor-kontraktor projek ini akan mematuhi peraturan pihak berkuasa memandangkan ia adalah sebuah projek yang besar," katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya didapati cuai dan melanggar ketetapan CIDB atau agensi penguatkuasaan lain, kontraktor projek pembinaan boleh dikenakan tindakan memberhentikan operasi serta merta dan digantung lesen. - Bernama

Punca Sebenar Tapak Projek I-City Diarah Tutup Punca Sebenar Tapak Projek I-City Diarah Tutup Reviewed by Admin on 5:10:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.