Ustaz Hassan Din Dakwa Teguran Lawak Dalam Ceramah Disalah Erti, Ini Maksud Sebenar Beliau


Hassan Din menunjukkan petikan yang mengatakan lawak jenaka dalam ceramah tidak sepatutnya berlebihan.

GEORGETOWN - ‘Teguran saya mengenai lawak dalam ceramah disalah erti sesetengah pihak." Itu luahan penceramah terkenal, Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz yang mengakui menerima kritikan negatif berhubung tegurannya tempoh hari.

Hassan Din berkata, teguran itu dibuat kerana mahu ilmu agama disampaikan kepada pendengar dengan lebih berkesan, namun telah disalah erti sesetengah pihak.

“Saya hanya katakan boleh lawak, tetapi tak berlebihan. Bukan saya yang sebut, tetapi Syeikh Yusuf Abdullah Al Qaradawi yang sebut melalui Kitab Al Halal Wal Haram Fil Islam edisi Arab muka surat 273.

"Jelas di situ beliau mengatakan lawak dalam ceramah tak boleh keterlaluan, ibarat sedikit garam dalam masakan. Kadangkala isi sedikit, tetapi lawaknya lebih banyak. Jadi di mana pengisian yang sebenar? Bagaimanapun, saya mahu pihak berkenaan memahami erti maksud yang sebenar ini,” katanya selepas ceramah kembara beliau bagi mengutip dana Surau Kompleks Kota Raya, Ipoh.

Mengulas kutipan dana surau itu, Hassan Din selaku penaung kompleks berkenaan memaklumkan, beliau sudah menjelajah hampir ke seluruh negeri di semenanjung untuk membuat kutipan dana.

Menurutnya, sehingga kini pembinaan kompleks berkenaan sudah hampir 50 peratus siap.

“Saya harap orang ramai dapat mewakafkan wang mereka bagi pembinaan surau ini. Ulama mengatakan terdapat dua jenis sedekah iaitu sedekah wajib dan sedekah sunat. Sedekah wajib ialah zakat dan sedekah sunat terbahagi kepada dua, amal serta jariah.

"Sedekah amal ialah sedekah yang mana ALLAH SWT berfirman, daripada satu kebajikannya akan dapat 10 pahala. Seperti kita beri sedekah kepada seseorang, kita bagi RM1, tapi pahalanya menjadi 10. Berbeza dengan sedekah jariah. Jariah ialah infak, daripada RM1, dia akan ditanam seperti benih yang baik dan kemudian berkembang menjadi rimbun yang mendatangkan manfaat berterusan.

“Sama seperti kita bersedekah untuk bina surau, bila siap surau itu nanti, betapa besar manfaat yang orang lain dapat daripada satu benih yang juga sedekah jariah kita itu tadi,” katanya.


Ustaz Hassan Din Dakwa Teguran Lawak Dalam Ceramah Disalah Erti, Ini Maksud Sebenar Beliau Ustaz Hassan Din Dakwa Teguran Lawak Dalam Ceramah Disalah Erti, Ini Maksud Sebenar Beliau Reviewed by Admin on 5:31:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.