MASJID Qiblatain di Madinah al-Munawarah antara tiga masjid tertua di dunia selain Masjid Quba dan Masjid an-Nabawi.
Pada asalnya ia dinamakan Masjid Bani Salamah kerana pembinaannya di atas bekas tapak rumah Bani Salamah.
Dalam sejarah perkembangan Islam, ia dinamakan Masjid Qiblatain kerana mempunyai dua kiblat, iaitu menghadap ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dan satu lagi ke arah Masjidil Haram di Makkah.
Batu asas pembinaannya dilakukan sendiri Nabi Muhammad s.a.w dan siap pada 623. Baginda pernah bermalam di masjid itu selama 20 hari.
Rasulullah menerima wahyu daripada malaikat Jibril mengutuskan supaya arah qiblat ditukar ke arah Makkah. Ketika itu baginda berada dalam rakaat kedua solatnya, turun wahyu memerintahkannya menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.
Maka, baginda berperingkat mengubah arah kiblat menghala ke Makkah. Perubahan arah kiblat menjadi tamparan hebat kepada kaum Yahudi yang sebelum itu begitu berbangga dengan kiblat mereka di Baitulmaqdis.
Sejarah awal pentadbirannya terletak di bawah Umar ��al-Khatab, kemudian diserahkan kepada pemerintahan Uthmaniah dengan penyeliaan Sultan Sulaiman yang bertanggungjawab melakukan pengubahsuaian terhadap masjid bersejarah itu.
Berdekatan Masjid Qiblatain terdapat sebuah telaga dimiliki seorang Yahudi.
Dengan nasihat nabi, telaga itu ditebus daripada pemiliknya oleh Uthman Affan dengan harga 20,000 dinar bagi menjadikannya milik umat Islam sepenuhnya.
Masjid itu mampu menampung kapasiti seramai 2,000 jemaah pada satu masa. Antara imam dan khatibnya termasuk Sheikh Salleh bin Awad al-Mughamisi, Sheikh Muhammad Khalil, Sheikh Muhammad Ayub dan Sheikh Ahmad bin Ali bin Abdul Rahman.
Pembesaran masjid berlaku pada 1543 pabila Sultan Sulaiman diarah melakukan pembesaran masjid bagi menampung jemaah semakin bertambah.
Pada 1987 projek pembesaran masjid dilakukan mengikut keperluan semasa tanpa mengubah struktur binaan asal. Namun, masjid lama dirobohkan bagi memberi nafas baru bagi menyerlahkan seni bina Islam.
Masjid Qiblatain berbentuk ortogenal geometri itu dihiasi dua tangga masuk bagi membolehkan jemaah lelaki dan wanita keluar masuk ke masjid melalui pintu berasingan.
Kedudukan dewan solatnya mempunyai aras berbeza dengan bahagian utara supaya menampakkan keunikan tersendiri.
Masjid berkenaan terletak di bahagian barat laut dari Madinah, di Jalan Khalid bin Walid, sempena kehebatan pahlawan Islam tersohor pada zaman Rasulullah.
Kini, Masjid Qiblatain mempunyai pelbagai kemudahan prasarana sesuai sebagai pusat tumpuan jemaah haji dari dalam dan luar negara.
Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan Ahmad bin Hambal, Al-Nasai, Ibnu Majah dan Hakim, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan solat dua rakaat di Masjid Qiblatain, maka Allah memberikan ganjaran pahalanya seperti pahala mengerjakan satu umrah.”
Justeru, tidak hairanlah masjid itu menjadi tumpuan jemaah haji dan umrah dari seluruh pelosok dunia.
Masjid Dua Kiblat?
Reviewed by Admin
on
3:58:00 PTG
Rating: