Bersedekahlah Sebelum Kau Kerugian di Akhirat!



Asma' mengatakan dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam; "aku berada di telagaku menunggu-nunggu orang yang datang kepadaku, tiba-tiba orang di belakangku ditangkap dan dijauhkan dariku sehingga aku berteriak-teriak; 'Itu umatku, itu umatku! ' Tiba-tiba ada suara menjawab; 'Kamu tidak tahu! Mereka berjalan dengan melakukan bid'ah, maksiat, dan dosa besar'." Ibnu Abi Mulaikah terus memanjatkan doa; Ya Allah, aku berlindung kepada-MU dari berbalik ke belakang atau terkena hentaman fitnah! (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Membeli syurga dengan harta. Adakah syurga boleh dibeli dengan harta? Suka sekali saya petik sebuah hadis yang sering kita dengar di mimbar-mimbar masjid, di buku-buku, di papan tanda dan lain-lainnya iaitu: 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Dari Abu Hurairah, bahwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim dan Ahmad)

Semua anak Adam pasti mati, selepas mati tidak ada lagi ibadat yang kekal kecuali tiga perkara iaitu kata nabi yang pertama, sedekah jariah. Ia tidak akan berputusan sampai bila-bila. Ia menjadi amalan yang tidak akan terputus walaupun kita sudah mati. Sedekah bukan perkara kecil di dalam Islam. Semaklah sendiri semua kitab hadis, kesemuanya tidak kira Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Abu Daud, Ahmad dan lain-lain, pasti ada meriwayatkan perkara mengenai kebaikan bersedekah serta ganjarannya. Sedekah bukan perkara kecil di dalam Islam. Kita imbas kembali peristiwa sedekah, suatu ketika Nabi Shallallahu alaihi wasallam di dalam peristiwa perang Tabuk. Kaum Muslimin mahu berperang dan melancarkan jihad dengan orang Rom, Masya Allah.. kekurangan dana untuk membeli peralatan perang, senjata, baju besi, kenderaan perang, dan bantuan rangsum dan lain-lain. Lalu Nabi Shallallahu alaihi wasallam berfikir sejenak bagaimana untuk mengumpulkan dana yang cukup besar. Lalu Nabi Shallallahu alaihi wasallam mengumpulkan hampir seluruh sahabat dan orang Muslimin ketika itu dan memberi khutbah dan membuka pintu tabaruk seluas-luasnya kepada kaum Mukminin dan Muslimin. Kemudian nabi duduk. Lalu bangun sahabat nabi, siapakah dia?

Itulah Sayidina Utsman bin Affan yang bangun berdiri, lalu berkata, “Wahai Nabi Shallallahu alaihi wasallam Pada hari ini aku nafkahkan 100 ekor unta lengkap dengan pelananya fisabilillah”. Sangat luar biasa sikapnya ini.

Ini kerana ketika persiapan perang, Nabi Shallallahu alaihi wasallam terpaksa menyuruh pulang beberapa orang Islam yang ingin berjihad kerana ketiadaan kenderaan. Sikap sahabatnya yakni Utsman ini membanggakan Nabi Shallallahu alaihi wasallam lalu nabi berdiri semula. Kemudian bangun lagi sahabat nabi. Siapa? Itulah Sayidina Utsman lalu berkata, “aku sedekahkan lagi 100 ekor unta lengkap dengan pelana untuk peperangan ini fisabilillah”.

Berbangga Nabi Shallallahu alaihi wasallam hingga di dalam satu riwayat Nabi Shallallahu alaihi wasallam pernah berkata kepada sahabatnya yang kita ingati jasanya yang besar dalam mengumpul Al-Quran untuk dibukukan, di dalam sedekahnya 1000 dinar iaitu: 

مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ

Tidak akan ada yang membahayakan Utsman setelah apa yang dia lakukan hari ini." (Hadis Riwayat Tirmidzi dengan darjat hasan gharib juga dalam riwayat Zahabi dan Ibnu Abi Asim)

Adakah Orang kaya Quraisy yakni Utsman duduk dengan puas? Tidak. Beliau bangun lagi dan berkata “Wahai Nabi Shallallahu alaihi wasallam Pada hari ini aku nafkahkan 100 ekor unta lengkap dengan pelananya fisabilillah”. Di dalam riwayat lain, sehingga 1000 ekor unta lengkap pelana dan 70 ekor kuda lengkap pelana selain 1000 dinar yang menyamai hampir RM 700,000 pada nilai mata wang Malaysia tahun 2012.

Sayidina Abu Bakar melihat keadaan itu, pulang ke rumah dan membawa 4000 dirham dan diletakkan di hadapan Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. Jika kita lihat tidaklah sebanyak sahabatnya Sayidina Utsman. Tetapi, 4000 dirham itu adalah seluruh hartanya Abu Bakr As-Siddiq. Itulah sikap Abdullah ibnu Abi Qahafah. Sehingga nabi bertanya kepada sahabat akrabnya itu, “Wahai Abu Bakr, apa yang kamu tinggalkan untuk anak isterimu di rumah?” Lalu Abu Bakr menjawab, yang mana lisan yang terkeluar dari mulutnya patut kita catatkan dengan dakwat emas, kata Abu Bakr as-siddiq, “Jangan khuatir wahai Rasulullah, Allah dan Rasulnya aku tinggalkan untuk mereka di rumah”. Subhanallah!

Begitu juga Abdul Rahman bin Auf orang kaya ketika itu menyedekahkan seluruh hartanya, Sayyidina Umar menyedekahkan separuh hartanya ke jalan fisabilillah, dan juga sahabat dan kaum muslimin yang lainnya. Kenapa begitu dahsyat sedekah mereka? Kenapa begitu serius mereka pada sedekah? Ini kerana mereka melihat, seandainya syurga itu boleh dibeli, sudah tentu mereka akan membeli dengan seluruh harta mereka. Jika ingin masuk syurga, mereka ingin masuk syurga melalui pintu sedekah. Mereka mahu masuk ke jannah melalui pintu sedekah.

Ramai daripada kita beranggapan, apabila di dalam poket kita terdapat RM100, apabila disedekahkan RM50, bererti baki wang yang tinggal ialah RM50 dan melihat kepadanya sebagai pengurangan harta, pengurangan dalam bentuk matematik. Dengar di sini para pembaca sekalian, firman Allah Taala iaitu,

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al Baqarah: 261)

Kemudian Nabi berkata:

فَإِنَّهُ مَا نَقَّصَ مَالَ عَبْدٍ صَدَقَةٌ

harta seorang mukmin tidak akan berkurang lantaran sedekah. (Hadis Riwayat Ahmad, No 17339)

Ini bermakna harta kita tidak akan berkurangan, malah akan bertambah. Kita bukan bersedekah RM 50, tetapi kita bersedekah RM 35,000. Kita bersedekah 700 kali ganda sebenarnya. Subhanallahu, amat menarik sekali.

Tidak pernah saya mendengar, orang kaya menjadi miskin gara-gara bersedekah, dan orang miskin menjadi fakir gara-gara bersedekah. Kita lihat harta kekayaan Tiger Wood yang rajin bersedekah, berjuta-juta tetapi masih juga tidak fakir miskin. Kita lihat orang kaya Malaysia, Ananda Krishnan bersedekah berpuluh juta ringgit, masih tidak muflis sebaliknya menjadi orang terkaya di Malaysia. Jika orang kafir mendapat nikmat ini, kenapa pula kita sebagai orang Islam mengkufuri nikmat sedekah ini? Jawablah saudaraku yang dimuliakan Allah.

Saudaraku, kita sering menganggap Rasulullah shallallahu alaih wasallam seorang yang miskin. Hingga diceritakan perihal kematiannya tidak meninggalkan apa-apa harta. Saudaraku yang dimuliakan, mari kita imbas kembali apakah benar Rasulullah shallallahu alaih wasallam seorang yang miskin pada hakikat? Tidak saudaraku. Kita lihat berapa banyakkah Rasulullah shallallahu alaih wasallam memberi mas kahwin kepada isteri-isterinyanya, termasuk isteri pertamanya yang kaya raya, saudagar besar Quraisy merangkap insan pertama yang memeluk Islam iaitu Khadijah. Islam yang sampai kepada dada kita adalah sebab musabab Khadijah, sebab hartanya.

Lalu di manakah harta Rasulullah shallallahu alaih wasallam? Pergilah ke Madinah. Kita lihat di Rom, ada istananya. Kita lihat di China, ada tembok besar, di Parsi, di Turki, kita lihat semua tempat yang bertamadun mempunyai tinggalan istana dan bandar yang bertamadun. Lalu, di manakah istana Rasulullah shallallahu alaih wasallam? Di mana mahkotanya? Di mana singgahsananya? Bukankah beliau seorang ketua Negara Islam? Sampai mati pun kita tidak menemu hartanya. Sedangkan beliau mempunyai hak ke atas harta ghanimah (harta rampasan perang) sebanyak satu per lima (1/5).

Inilah perumpamaan yang saya berikan yang saya petik dari kata ulama, tangan kanan Rasulullah shallallahu alaih wasallam umpama air yang mengalir dalam membuat kebaikan sedekah. Tangan kirinya umpama angin yang berhembus dalam memberi hartanya kepada orang fakir miskin. Tidaklah orang yang miskin duduk bersama nabi, melainkan akan pulang dan mengeluarkan sedekah dan menjadi seorang yang bersedekah juga, gara-gara terkesan dengan sikap perbuatan nabi. Masya Allah tuan-tuan yang dikasih Allah.

Oleh yang demikian, dengarlah dengan hatimu, bacalah dengan matamu terus ke hatimu. Bersedekahlah kerana Allah telah berjanji akan memberikan pahala sedekahnya bukan 10 kali ganda, 50 kali ganda, tetapi 700 kali ganda. Allah janjikan, jika seorang hambanya sanggup berpisah dengan hartanya demi menegakkan Islam dan memberi bantuan kepada fakir miskin, maka Allah janjikan jannah untuknya. Bersedekahlah!

Allah meminta hambanya untuk membeli syurga. Jangan bakhil dengan harta. Berinfaklah, dan ikutilah jejak nabi dan sahabat. Percayalah tuan-tuan, syaitan tidak akan membisikkan di telinga kita supaya “Jangan bersedekah”, tetapi syaitan akan membisik “tangguhlah dulu sedekahmu itu”, lalu kita tangguhkan untuk esok, selepas tiba hari esok, dibisikkan lagi “tangguhkan dahulu” sehingga ke akhir hayat, kita tidak juga bersedekah. Hingga datang Malaikat Maut menjemput kita. Waktu itu sudah terlewat. Firman Allah di dalam al-Quran al-karim:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِينَ

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". (Surah al-Munafiqun: 10)

Bersedekahlah, infak hartamu walaupun 10 sen. Tidak kira siapa kaum yang memohon sedekah darimu, tidak kira apa agama yang datang memohon sedekah darimu. Keluarkanlah sedekahmu. Tidaklah orang yang bakhil hartanya melainkan dia akan ditimpa kerugian di akhirat kelak. Ajarlah anakmu bersedekah, ajarlah anakmu! Janganlah jadi pelokek. Jangan ajar anak menjadi bakhil. Didiklah mereka, berikan mereka 50 sen dan bawalah mereka ke masjid, dan ajarlah dia supaya masukkan ke tabung. Bawa dia kepada fakir miskin di jalanan, ajarlah anak-anak kita masukkan duit ke dalam cawan. Saya berpesan untuk menasihati saya dan seluruh Mukminin dan Muslimin yang masih hidup dan yang membaca artikel ini hingga ke akhirnya. Wallahu a’lam

Bersedekahlah Sebelum Kau Kerugian di Akhirat! Bersedekahlah Sebelum Kau Kerugian di Akhirat! Reviewed by Admin on 6:39:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.