Cemas Rumah Dipanah Petir



KUANTAN - Ibu tunggal bersama dua anaknya melalui detik cemas apabila bumbung rumah mereka di tingkat tiga Flat Seri Kuantan di Lorong Seri Kuantan 64 dipanah petir.

Zarita Muda, 43, berkata, ketika kejadian, dia baru selesai mandi dan duduk di ruang tamu selepas solat.

Namun katanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi seperti kaca pecah dari dalam bilik kedua sebelum bergegas masuk untuk melihat apa yang berlaku.

“Apabila saya masuk ke dalam bilik, saya dapati bumbung sudah berlubang dan air hujan melimpah.

“Bimbang dengan keadaan tersebut, saya bergegas turun mendapatkan pertolongan daripada jiran berhampiran,” katanya, di sini.

Zarita berkata, jirannya membantu menutup suis utama kerana air hujan mengalir melalui wayar elektrik.

Katanya, dia yang panik hanya mampu menyelamatkan komputer riba, manakala televisyen tidak dapat diselamatkan.

“Lapan tahun saya menyewa di sini, ini adalah kejadian ribut pertama dan saya akui agak trauma,” katanya.

“Nasib baik ada jiran sudi membantu. Buat sementara waktu, saya menumpang di rumahnya sebelum rumah kering dan bumbung dibaiki,” katanya.

Sementara itu, penduduk di Lorong Seri Kuantan 65, Hakimi Mohd Noor, 27, berkata, dia tidak menyangka hujan lebat malam semalam menyebabkan banyak pokok serta tiang elektrik berdekatan rumahnya tumbang.

Katanya, dia sekeluarga terpaksa bergelap kerana bekalan air elektrik terputus sejak malam kelmarin sehingga pagi semalam. 
sumber

Cemas Rumah Dipanah Petir Cemas Rumah Dipanah Petir Reviewed by Admin on 8:18:00 PTG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.