Hukum Menelan Kahak atau Hingus Ketika Berpuasa Yang Ramai Tak Tahu



Mukadimah

Di antara persoalan yang sering timbul semasa bulan Ramadan adalah berkenaan hukum menelan kahak ataupun hingus semasa berpuasa. Adakah perbuatan ini membatalkan puasa ataupun tidak ? Justeru, dalam siri kali ini kami akan menjelaskan secara terperinci berkenaan hukum bagi permasalahan ini.

Hukum Menelan Kahak Bagi Yang Berpuasa


Berikut kami kongsikan beberapa pendapat para fuqaha berkenaan isu ini:

Pertama: Pendapat Mazhab Hanafi


Di dalam kitab Hasyiah Ibn Abidin, penulisnya berkata:


لَو ابْتَلَعَ البَلْغَمَ بَعْدَمَا تَخَلَّصَ بِالتَّنَحْنحِ مِنْ حَلْقِهِ إِلَى فَمِهِ لَا يُفْطِر عِنْدَنَا

Maksudnya: Sekiranya seseorang menelan balgham (kahak) setelah dia selesai berdehem-dehem dari tekaknya menuju ke mulutnya maka perbuatan itu tidak membatalkan puasa di sisi kami (mazhab Hanafi).Rujuk Radd al-Muhtar, Ibn Abidin (2/400).

Kedua: Pendapat Mazhab Maliki


Para fuqaha Malikiyyah berbeza pendapat kepada dua pandangan:
Balgham (kahak) yang keluar daripada dada sehingga ke taraf (bahagian) lidah lalu seseorang itu menelannya maka tiada qadha baginya (tidak membatalkan puasa) sekalipun dia mampu untuk meludahnya. Begitulah juga dengan hingus sekalipun ia telah sampai ke bahagian lidah dan seseorang itu sengaja menelannya maka tidak perlu qadha ke atasnya.
Pendapat yang dipegang oleh seorang tokoh mazhab Maliki iaitu Khalil yang mengatakan bahawa menelan kahak itu membatalkan puasa serta wajib qadha ke atas sesiapa yang mampu untuk meludahnya (kahak). Lihat al-Fawaqih al-Dawani (1/309).

Ketiga: Pendapat Mazhab Syafie


Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan:

النُّخَامَةُ إنْ لَمْ تَحْصُلْ فِي حَدِّ الظَّاهِرِ مِنْ الْفَمِ لَمْ تَضُرَّ بِالِاتِّفَاقِ

Maksudnya: Hingus sekiranya tidak sampai kepada bahagian yang zahir daripada mulut maka ianya tidak memberi mudharat (membatalkan puasa) secara sepakat. Lihat al-Majmuk Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (6/319).

Manakala jika kahak atau hingus itu sudah sampai ke bahagian mulut lalu seseorang itu menelannya maka itu membatalkan puasa. Lihat Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/360).

Tarjih

Setelah kami meneliti beberapa pendapat di atas, pendapat yang rajih di sisi kami adalah pendapat yang mengatakan menelan kahak atau hingus TIDAK MEMBATALKAN PUASA bagi orang tua yang sukar untuknya mengeluarkannya. Manakala bagi mereka yang mampu untuk mengeluarkannya hendaklah dia berusaha melakukannya. Inilah sebagaimana pendapat dalam mazhab Imam Abu Hanifah, sebahagian fuqaha Malikiyyah dan juga pandangan para fuqaha yang lain.

Semoga dengan pencerahan ini kita dapat merasakan samahah Islam dalam ibadah yang turut diraikan kepada orang-orang sakit atau orang tua. Kami berdoa semoga Allah S.W.T menerima ibadah kita semua di dalam bulan Ramadan, seterusnya menjadikan kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang bertaqwa. Amin.

Akhukum Fillah

S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI
MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
10 Jun 2016 bersamaan 5 Ramadan 1437 H.

sumber

Hukum Menelan Kahak atau Hingus Ketika Berpuasa Yang Ramai Tak Tahu Hukum Menelan Kahak atau Hingus Ketika Berpuasa Yang Ramai Tak Tahu Reviewed by Admin on 5:48:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.