Sayu.. Pengarah Drama Popular Meninggal, Rebah Dilokasi Penggambaran



"PAKCIK hilang seorang anak yang bertanggungjawab dan lebih memilukan dia pergi saat kita bakal menyambut Ramadan dan Syawal.

Itu luahan merintih jiwa ayah kepada pengarah drama popular Tundukan Playboy Itu, Allahyarham Khairul Amri Khalid, Khalid Mamat, 70, semasa ditemui di rumahnya di Taman Seri Intan, ‎di Teluk Intan, hari ini.

Allahyarham Khairul Amri atau lebih dikenali dengan nama Keoi meninggal dunia selepas rebah di set lokasi pengambaran drama Cinta 11 Syarat di Gerik, Perak, jam 8.13 malam semalam.

Menurut Khalid, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya adalah pada cuti sekolah Mac lalu dan ketika itu arwah pulang bagi membeli persiapan raya keluarganya.

"Itu pun dia balik secara mengejut tanpa memaklumkan kepada kami, tahu-tahu sahaja dia telefon beritahu sudah berada di hadapan rumah jam 12 malam.

"Kemudian arwah bawa anak dan isteri membeli pakaian untuk persiapan Syawal akan datang kerana sudah menjadi kebiasaan dia membeli semua itu awal," katanya.

Khalid berkata, dia tidak menyangka perbuatan Allahyarham tidak aktif di dalam perbualan WhatsApp keluarga sejak beberapa bulan kebelakangan ini merupakan petanda di akan meninggalkan mereka.

"Sebelum ini dia ada juga berbual tetapi beberapa bulan lalu dia mula tidak aktif di dalam perbualan berkenaan dan senyap.

"Pak cik redha dengan pemergian arwah diusia 44 tahun walaupun perit kehilangan seorang anak yang sangat disayangi oleh semua ahli keluarga," katanya.

Sementara itu, pelakon dan rakan Allahyarham, Liza Abdullah yang turut hadir pada upacara pengkebumian arwah berkata, industri kehilangan seorang sahabat dan pengarah yang begitu baik.

"Saya kenal dengan arwah terlalu lama sejak dia mula terlibat dalam industri ini sebagai penolong pengarah dan ketika itu dia bercita-cita menjadi pengarah.

"Alhamdulillah Allah makbul impian dia, tetapi akhirnya dia pergi meninggalkan kami semua bersama kenangan ketika bekerja bersamanya," katanya.

Tambahnya, Allahyarham Keoi merupakan seorang suami yang bertanggungjawab dan juga seorang pengarah yang sentiasa mengambil berat kebajikan krew dan pelakon.

"Sukar untuk saya percaya kerana bagi saya segala kenangan yang dilakukan bersama arwah masih lagi segar dalam ingatan," katanya.

Allahyarham Keoi meninggalkan seorang isteri bersama tiga anak masing masing berusia 17, 15 dan tiga tahun.

Jenazah selamat dikebumikan selepas Solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan, semalam.

Turut kelihatan pada upacara pengkebumian Allahyarham Keoi adalah pelakon Anne Abdullah, Iqram Dinzly, Ellie Suriati Omar dan lain-lain. - SH

Sayu.. Pengarah Drama Popular Meninggal, Rebah Dilokasi Penggambaran Sayu.. Pengarah Drama Popular Meninggal, Rebah Dilokasi Penggambaran Reviewed by Admin on 7:06:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.