USTAZ, saya ni bukanlah mewakili mana-mana parti politik dan saya ada soalan penting untuk ditanya kepada ustaz. Saya harap sangatlah ustaz dapat menjelaskan persoalan saya ni berdasarkan hujah dan dalil naqli al-Quran dan juga hadis soheh.
Lagipun, bukannya saya ni jahil sangat mengenai keadaan politik di negara ini. Saya tahu bahawa pihak pemerintah pun banyak menyeleweng dari Islam! Umat Islam hanya akan bersatu di bawah kalimah "lailahaillallah" dan tiada pertikaian pun mengenainya! Tapi saya agak ragu-ragu dengan memperjuangkan Islam ini dengan menubuhkan parti! Mengapa tidak boleh kita perjuangkan Islam melalui cara dakwah seperti pertubuhan tabligh tersebut?
Lagi pun, saya dapati bahawa cara mereka berdakwah ialah dengan memantapkan iman dan amal. Saya berkata sedemikian kerana inilah baru kali pertama saya mengikuti tabligh selama 3 hari bertempat di Naza Plantations, Raub, Pahang. Sepanjang saya mengikuti tabligh tersebut, banyak perkara telah saya belajar. Tujuan tabligh ini pun sebenarnya bukannya untuk hanya berdakwah pada orang, tapi untuk mentarbiahkan diri sendiri agar iman dan amal dapat dimantapkan. Saya dapat merasakan sendiri persaudaraan Islam dan Allah telah merahmati dan memberkati kami dengan memberikan pengertian sebenar tentang hakikat kehidupan!
Dan apa yang menakjubkan hati saya ialah ada antara jemaah tabligh ini ada yang sebelum ini tak pernah sembahyang dan tak faham apa itu agama pun. Menangis kerana keinsafan dan mula faham akibat daripada usaha ustaz yang memberikan syarahan, bayan dan majlis taalim mengenai iman dan amal!
Dan saya pun berfikir semula tentang usaha parti PAS khususnya. Banyak yang berbicara mengenai kepentingan kembali pada al-Quran dan sunnah. Memang betul, usaha itu perlu disokong tapi kebanyakan masyarakat kita hari ini tak paham kenapa kena kembali kepada al-Quran dan sunnah. Sebab apa ustaz, saya percaya kerana iman dan amal mereka sendiri amat rapuh! Salah satu perkara yang amat-amat ditekankan semasa tabligh itu ialah sembahyang berjemaah. Kita boleh lihat betapa kosongnya masjid dan surau hari ini! Jadi, tak hairanlah masyarakat kita terus berada dalam kelalaian!
Saya percaya jika pihak PAS menekankan usaha iman dan amal ini dalam dakwah dan ceramah mereka, insyaallah masyarakat akan mula paham!
Jadi, saya amatlah berharap pada ustaz untuk menerangkan kepada saya mengenai persoalan di atas. Saya yang tak ada ijazah agama ni tak tau apa pun! Kalau boleh penjelasan itu janganlah terlalu bias. Pegang pada kebenaran.
Jazakallahu khairan kathira.
Muhammad Syafiq
Jawapan Ustaz Ali Muda
Wa`aikumussalam warahmatullah.
Alhamdulillah, saudara telah diberi taufik oleh Allah s.w.t. untuk memahami Islam atau sebahagian daripada Islam. Daripada seorang yang kurang faham apa peranan agama menjadi seorang yang merasakan kemanisan hidup beragama. Bersyukur juga kerana saudara telah terlibat dengan salah sebuah pergerakan yang cintakan Islam dan ingin melihat Islam didaulatkan di bumi Allah s.w.t. ini, walaupun dengan caranya yang tersendiri.
Persoalan saudara ini berfokus kepada cara untuk menegakkan Islam, setelah saudara bersetuju bahawa pemerintah umat Islam hari ini tidak boleh diharapkan untuk mendaulatkan Islam secara syumul. Persoalannya apakah boleh Islam diperjuangkan menerusi penubuhan parti politik, yang menurut saudara, tidak pernah dilakukan oleh para nabi dan Nabi Muhammad s.a.w. Arab Saudi juga, menurut saudara, mengharamkan penubuhan parti politik kerana boleh memecahbelahkan umat.
Insyaallah, saya akan menjawab persoalan saudara ini dengan cara akademik/ilmiah berdasarkan hujah tanpa bias kepada mana-mana pihak, walaupun saudara sendiri telah menunjukkan kecenderungan saudara kepada satu pihak. Harapan saya, jika jawapan saya ini tidak menjurus kepada kecenderungan saudara, janganlah saudara anggap saya bias. Maka sukalah saya tegaskan bahawa saya juga tidak menganggotai mana-mana parti politik kerana saya ingin bebas membuat penilaian berdasarkan ilmu yang saya belajar. Jika ilmu saya mengatakan 'itu', maka tiada siapa berhak menidakkan kebenarannya melainkan dengan hujah ilmu juga, bukan dengan sentimen, fanatik, prasangka dan sebagainya. Mungkin orang lain berpendapat berlainan berdasarkan ilmu juga, maka saya terima hal itu atas prinsip 'al-khilaf al-masyru`' (khilaf yang dibenarkan syarak), jika ia berada dalam lingkungan perkara cabang atau ranting (furu`), bukan pokok (usul). Dan ilmu yang saya maksudkan ialah kefahaman yang mendalam terhadap sesuatu persoalan, dengan perantaraan alat-alat yang disepakati untuk menuju kepada kefahaman itu.
Jika persoalannya ialah berkaitan hukum atau pandangan Islam dalam sesuatu perkara, maka sudah pasti alat-alat yang wajib untuk menuju kepada kefahaman yang sebenar ialah kefahaman asas terhadap sumber Islam iaitu nas-nas al-Quran dan hadis (yang sahih) serta perbahasan ulama yang muktabar tentangnya. Oleh kerana nas-nas al-Quran, hadis dan perbahasan ulama muktabar itu kebanyakannya dalam Bahasa Arab, maka kefahaman mendalam dalam bahasa itu adalah satu keperluan yang wajib. Tidak cukup setakat itu, kefahaman yang mendalam terhadap ilmu disiplin berhujah dengan al-Quran dan hadis (iaitu ilmu Usul al-Fiqh dan Qawa`id al-Fiqh) adalah juga suatu yang mesti dan wajib.
Berbalik kepada persoalan saudara, apakah masyru` (dibenarkan syarak) penubuhan parti politik untuk menegakkan Islam?
Saudara beranggapan ia tidak masyru` berdasarkan hujah-hujah:
- Di Arab Saudi tiada parti politik kerana menurut mereka parti politik boleh memecahbelahkan umat.
- Tiada seorang nabi dan para pejuang syuhada zaman dulu yang berjuang menegakkan Islam melalui parti politik.
- Parti politik berasal daripada sistem kafir.
- Parti politik boleh digantikan dengan cara berdakwah kepada iman dan amal, seperti yang dilakukan oleh Jamaah Tabligh.
1) Tiada nas samada dalam al-Quran, hadis atau kata-kata ulama terdahulu yang muktabar bahawa penubuhan parti politik itu dilarang syarak. Dalam syariah (Usul al-Fiqh), ada satu kaedah yang berbunyi "Aslul Asy-yaa' al-Ibahah" (Asal sesuatu perkara itu adalah harus). Semua perkara di dunia ini asalnya harus, melainkan setelah datangnya nas-nas yang melarangnya, barulah hukumnya bertukar menjadi haram atau makruh, ataupun apabila datangnya nas-nas yang menyuruhnya, maka ia pun bertukar menjadi wajib atau sunat. Antara haram dan makruh, atau antara wajib dan sunat, adalah berdasarkan sejauh mana larangan dan suruhan itu, dengan sokongan nas-nas yang lain, yang difahami oleh ulama yang berkecimpung dalam bidang ilmu prinsip pengeluaran hukum Islam (iaitu ilmu Usul al-Fiqh), dengan sokongan ilmu yang luas tentang hadis Nabi s.a.w., yang merupakan praktis kepada seluruh hukum Islam yang wujud sebelum kemangkatan baginda. Oleh kerana tiada nas yang melarang, maka penubuhan parti politik adalah harus. Itulah asal dan dasarnya.
2) Apabila kita bercakap mengenai parti politik Islam (iaitu parti yang berjuang untuk mendaulatkan Islam), maka kita telah terkeluar daripada asal dan dasar hukum tadi (harus). Hukum itu telah bertukar menjadi sekurang-kurangnya sunat, kalau pun tak wajib. Ini berdasarkan nas al-Quran yang bermaksud: "Dan bertolong menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan…" (Al-Maidah: 2). Jika parti Islam bertujuan untuk bergabung tenaga menegakkan Islam, bagaimana ia dikatakan haram, sedangkan ia bertepatan dengan kehendak ayat tersebut? Apatah lagi tiada satu nas pun yang melarangnya.
3) Walau bagaimanapun, jika kita merujuk kepada nas yang lain, kita dapati penubuhan parti politik dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia adalah dituntut oleh syarak. Ada nas yang bermaksud "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya dalam satu saf (barisan/front/organisasi) seumpama sebuah bangunan yang berdiri teguh…" (Al-Saf: 4). Alangkah bodohnya umat yang ingin melihat Islam tertegak di muka bumi, tanpa membuat persediaan yang lebih baik daripada kaum yang ingin merobohkan Islam atau yang berpura-pura cinta Islam (seperti yang saudara sendiri faham), ataupun sekurang-kurangnya membuat persediaan yang setanding dengan musuh itu. Adakah Allah s.w.t. akan menolong dengan mukjizat semata-mata tanpa wujudnya usaha yang tersusun dan sistematik daripada para pejuang? Sedangkan Nabi s.a.w. sendiri tidak diberikan mukjizat melainkan setelah banginda bekerja keras siang malam dengan tulang empat kerat.
Kalaulah musuh ada barisan/front/organisasi yang memonopoli sistem demokrasi, apakah pejuang Islam perlu pejam mata dan pekakkan telinga saja atas alasan demokrasi, parti politik dan pilihan raya adalah sistem ciptaan orang kafir!!?? Apakah patut pejuang Islam membiarkan saja kerusi eksekutif yang berkuasa mencipta undang-undang ke atas umat di dewan rakyat, parlimen, dewan undangan negeri dll diduduki oleh puak yang benci kepada Islam secara zahir, batin atau secara batin sahaja (terlihat kebenciannya secara luar kawalan/tak sengaja)? Realiti dan hakikatnya, sama ada rakyat suka atau tidak, orang yang menduduki kerusi-kerusi eksekutif itulah yang mencipta, menggubal, meminda atau membatal undang-undang sebaik sahaja mereka berkuasa setelah menang dalam pilihan raya 'demokrasi'. Bila mereka memiliki kuasa itu, persetankan sahaja kehendak rakyat terbanyak. Mereka kata mereka telah diberi mandat selama 5 tahun, kalau tak setuju, tunggu 5 tahun! (Walaupun mandat itu diperolehi secara penipuan seperti undi pos yang menjadi taboo kepada pembangkang). Bila mereka kata kita tak boleh laksanakan hukum jenayah dalam al-Quran (hudud), rakyat (termasuk orang yang cintakan al-Quran dan Islam seperti saudara) terpaksa terima. Bila mereka kata harga barang itu ini dinaikkan, semua rakyat terpaksa bayar walaupun perit. Bukanlah susah untuk mencipta beberapa rasional di sebalik kenaikan harga barang itu dengan sokongan sedikit 'statistik' atau 'angka' yang entah betul ke tidak. Rakyat terima ajelah. Bila mereka nak langgar perjanjian yang mereka sendiri buat, rakyat pun terpaksa akur, sebab mereka masih berkuasa sebagai kerajaan pusat.
Jika itu realiti dan hakikat posisi kuasa pada hari ini, kenapa pejuang Islam perlu mengasingkan diri dan lari daripada merebut peluang untuk melaksanakan Islam melalui kuasa? Apakah Nabi s.a.w. mampu melaksanakan Islam tanpa kuasa yang diusahakan? Bukankah perpindahan dari Mekah ke Madinah (Hijrah) itu sebagai satu strategi untuk mempraktikkan Islam melalui kuasa politik/pemerintahan di sebuah negara yang bebas dan berdaulat (walaupun bukan secara parti politik seperti hari ini)? Secara logiknya, adakah baginda akan berjaya menegakkan Islam tanpa berhijrah mendapat sebuah negara yang berkuasa politik? Adakah Islam akan boleh dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebuah negara dan sistem yang bebas dan tersendiri? Bukankah baginda telah boleh berdakwah, beriman dan beramal di Mekah? Kalau dah boleh, kenapa sibuk-sibuk mengajak para Sahabat r.a. berhijrah? Sedangkan beramal di Mekah itu mendapat pahala yang paling besar?
Jawapan kepada soalan-soalan di atas ialah "kuasa eksekutif itu adalah asasi untuk mempraktikkan Islam secara syumul di bumi Allah s.w.t. ini". Zaman Nabi s.a.w. ia (kuasa eksekutif) itu didapati melalui hijrah dan jihad di medan, manakala zaman ini (dalam konteks Malaysia dan kebanyakan negara), ia diperolehi melalui pilihan raya.
Kita perlu faham, Islam itu bukan sekadar iman dan amal seperti solat, zakat, haji, zikir atau baca al-Quran sahaja. Kalau itulah sahaja Islam, Nabi s.a.w. tak perlu berhijrah, sebab semua itu boleh dilakukan di Mekah, dengan pahala yang paling besar lagi. Itu semua amal individu, kalau tak ada negara dan kuasa pun kita boleh amalkan ibadat-ibadat itu. Tetapi Islam lebih luas daripada itu. Ada banyak lagi suruhan Allah s.w.t. yang tidak boleh dilaksanakan jika Islam tidak mempunyai negara atau kuasa berdaulatkan al-Quran dan sunnah, seperti suruhan melaksanakan hudud (sistem kawalan jenayah secara Islam), suruhan melaksanakan ekonomi Islam secara total tanpa campuran riba, suruhan jihad memerangi musuh yang mengkhianati umat Islam, suruhan mengharamkan segala yang diharamkan Allah s.w.t. (seperti arak, judi dll) dan menghalalkan segala yang dihalalkan-Nya (tazkirah bulan Ramadhan, ceramah agama, perhimpunan aman dan segala perkara yang bukan bertujuan jahat) dan yang paling besar sekali ialah suruhan menyebarkan rahmat kepada sekalian alam. Hampir semua pemimpin umat Islam hari ini tidak melaksanakan agenda terbesar Islam ini kerana mereka bernegara dan kuasa sekular. Orang bukan Islam, khususnya kuasa-kuasa barat semakin memandang lekeh kepada Islam di zaman pemimpin-pemimpin Islam sekular berkuasa kini. OIC?...diketawakan saja! Malaysia negara contoh?…nampaknya lebih kepada syok sendiri!
4) Kalau demikianlah hal dan realitinya hari ini, maka tak mungkin hanya dengan berdakwah keluar 3 hari, 10 hari, 40 hari, sebulan, 4 bulan bahkan setahun sambil beramal ibadat individu (solat, zakat, haji, zikir, baca al-Quran dan seumpamanya); tak mungkin dengan cara itu saja negara Islam akan tertegak seperti Nabi s.a.w. pernah sunnahkan di al-Madinah al-Munawwarah. Walaupun saya tak nafikan amalan-amalan itu juga adalah baik. Tetapi baik semata-mata tanpa strategi jangka pendek dan panjang, lebih dekat kepada sia-sia. Apakah amal sebegitu telah menepati kehendak Allah s.w.t. Kita berjuang dalam satu saf/barisan/front/organisasi seperti sebuah bangunan yang terpacak teguh tanpa goyah dek sebarang gegaran? Sedangkan musuh (yang jelas atau yang seperti musang berbulu ayam) sedang enak menjahanamkan Islam yang syumul bawaan Nabi s.a.w., kita masih asyik berbalah tentang apakah boleh berparti politik.
Maka dalam konteks hari ini, berparti politik untuk menegakkan Islam adalah lebih dekat kepada wajib berdasarkan satu prinsip al-Qawa`id Al-Fiqhiyyah yang berbunyi "Maa laa yatimmu al-waajib illaa bihii fahuwa waajib" (Sesuatu perkara, yang tidak akan sempurna perkara yang telah wajib melainkan dengannya, maka perkara itu menjadi wajib juga hukumnya). Mendaulatkan Islam secara syumul (menyeluruh) samada dalam bidang akidah, akhlak, ibadat, muamalat, munakahat, jinayat, jihad dan sebagainya itu adalah satu kewajipan yang telah pasti berdasarkan nas-nas yang telah sedia ada dalam al-Quran dan hadis sahih. Tetapi banyak bidang itu tidak dapat dilaksanakan tanpa wujudnya negara, kuasa dan sistem Islam yang memimpin. Maka mewujudkan negara, kuasa dan sistem Islam itu wajib hukumnya.
Dalam konteks hari ini, negara, kuasa dan sistem itu tak akan dapat dicapai melainkan dgn cara-cara seperti: pilihan raya demokrasi (di kebanyakan negara umat Islam walaupun demokrasi palsu), revolusi (seperti Iran 1979), reformasi (seperti Indonesia, Filipina). Dua cara terakhir itu boleh mengakibatkan mudharat dan tumpah darah, maka hendaklah dielakkan selagi ada jalan yang lebih selamat, iaitu pilihan raya demokrasi.
Oleh kerana pilihan raya demokrasi itu hanya boleh disertai oleh parti politik berdaftar, maka menjadi kewajipanlah kepada pejuang Islam untuk mendaftarkan paling kurang sebuah parti politik yang khusus untuk menegakkan Islam. Kalau tidak, tak boleh masuk pilihan raya. Kalau tak boleh masuk pilihan raya, tak mungkin akan dapat duduk di kerusi eksekutif itu. Kalau tak duduk, tak mungkin berkuasa dalam realiti negara hari ini! Ada sesiapa lagi yang nak menidakkan realiti semasa secara membuta tuli???
5) Kalau pemerintahan dah OK (adil, bersih, bertanggungjawab macam al-Khulafa' al-Rasyidin), memang tak perlu kepada parti-parti politik, sebab memang boleh menyebabkan perpecahan. Tetapi apakah pemerintah hari ini boleh membuktikan keadilan, kebersihan dan kebertanggungjawaban seperti para khalifah yang dipuji oleh al-Quran dan mendapat didikan secara langsung daripada Nabi s.a.w. itu? Tak ada!…termasuklah kerajaan Arab Saudi sendiri. Kalau dah macam khalifah, tak kan dia benarkan tanahnya digunakan oleh Syaitan Terbesar (USA) sebagai pangkalan untuk menyerang saudara Islamnya di Iraq. Sebaliknya, ketidakwujudan parti politik langsung seperti di Saudi lebih membawa kemudaratan kepada umat kerana pemerintah boleh berbuat apa saja tanpa siapa berani menegur.
6) Tidak semua perkara yang dicipta oleh orang bukan Islam/kafir itu haram diguna pakai oleh umat Islam (seperti sistem pilihan raya dan parti politik). Yang menjadi haram sesuatu perkara itu bukan sebab ianya dicipta oleh orang bukan Islam, tetapi sebab dah ada nas yang mengharamkannya.
7) Tak semua perkara yang Nabi s.a.w. tak buat, maka kita pun tak boleh buat. Nabi s.a.w. tak buat jalan raya berturap, bangunan tinggi-tinggi, pejabat agama, masjid surau yang banyak, tabung haji dan sebagainya. Tapi apakah kita pun diharamkan membuat perkara-perkara baik itu atas alasan baginda tak buat? Jadi, kalau baginda tak buat parti politik yang sama sebijik macam hari ini pun, apa salahnya kita kreatif sikit dlm perjuangan Islam ini, demi melawan kekuatan sistem musuh?
8) Parti politik Islam pun bukan hanya berpolitik saja, mereka juga mendukung agenda dakwah, iman dan amal. Bahkan dakwah, iman dan amal yang lebih luas lagi daripada yang tak berparti politik. Cuma kalau ada sikit-sikit kelemahan tu, memang manusia tak ada yang sempurna. Perbaikilah mana-mana yang tak sempurna tu, setelah sedar dan tahu dasarnya betul dan tepat dengan kehendak Islam. Jangan kerana beberapa kelemahan itu, kita pun turut memusuhinya atau lebih sedih lagi kita pergi sokong parti jahiliyah pula. Ini yang parah nih!
Kalau Jamaah Tabligh amat menitikberatkan pasal solat secara berjemaah di masjid (dan inilah yang sepatutnya), ajaklah ahli-ahli parti Islam berjemaah sama. Jangan kerana beberapa kerat yang tak berjemaah (atau yang tak solat pun ada), maka Tabligh terus hukum ahli parti Islam sebagai tak beramal. Cuba Tabligh pergi dengar kuliah-kuliah ilmu para pemimpin parti Islam itu, bukankah mereka berdakwah kepada iman dan amal juga? Bila dah ramai sangat tu, biasalah ada yang nakal seorang dua. Itu perlu ditegur dan dinasihat, bukan dihukum jahat terus. Ahli Tabligh pun ada yang masih tak selayaknya. Kalau Tabligh kata mereka berusaha meningkatkan diri dalam jamaah, begitu juga ahli-ahli parti Islam. Oleh itu, bekerjasamalah. Jangan hentam menghentam atau undi parti sekular pulak. Daftarlah sebagai pengundi yang sah dan berilah undi untuk parti yang memperjuangkan Islam.
Sekian jawapan saya seikhlasnya, wassalam `ala man ittiba`a al-huda.
Sumber: rakanmasjid.com
Mengapa Umat Islam Perlu Berpolitik
Reviewed by Admin
on
12:33:00 PG
Rating: