Kapal terbang terhuyung hayang mendekati lapangan terbang Brunei. Tayar sudah dikeluarkan namun angin menggoncang kapal terbang mengalahkan bas RAPID B114.
Kapal terbang sedikit terjunam. Ada wanita yang membaca ayat al-Quran dengan kuat sehingga kedengaran seluruh perut kapal. Orang putih di belakangnya tersenyum sinis, mungkin dia tak rasa keadaan ini akan berlanjutan hingga 40 minit seterusnya.
Kapal terbang segera dinaikkan segera dan gagal mendarat. Ribut makin ganas. Tayar kapal terbang dimasukkan kembali. Kami bertarung dengan ribut. Kapal terbang terhuyung hayang cuba keluar dari awan gelap pekat.
Selepas 5 minit kapal terbang bergegar keras. Saya lihat bumbung kapal bergegar macam nak tanggal pun ada. Badan bergoncang ke kiri dan kanan.
Bacaan al-Quran wanita tadi menenangkan sedikit hati saya. Namun orang putih sudah tak senyum lagi.
Kapten Najib bersuara. Katanya AK278 tak berjaya mendarat dan terpaksa menangguhkan pendaratan. Kami terpaksa berlegar-legar di atas laut yang kelihatan bergelora, sangat dekat dan jelas kelihatan.
Kata Kapten Najib, mereka sedang memikirkan jika AK278 perlu mendarat di kawasan lain namun akan memberitahu kami jika sudah membuat keputusan.
Untuk kali ketiga, kapal terbang bergoncang. Kali ini kami seolah-olah hampir terjunam. Kapal terbang kami tak stabil, sayap kanan dan kiri ditolak angin macam kapal terbang kertas.
Kali ni penumpang menjerit Allahuakbar. Dia tak berseorangan. Penumpang yang beragama Islam turut sama bertakbir dan bertahlil.
Kali ni tubuh saya menggeletar. Saya nak menangis. Saya teringat mak. Pertama kali saya rasa saya tak ada harapan hidup langsung. Saya berdoa minta Allah beri peluang saya sekali ini untuk hidup.
Jika saya belum layak masuk syurga sekarang ini, saya mohon agar diberi sedikit masa lagi untuk bersungguh-sungguh bertaubat. Tapi terfikir juga mati di bulan Ramadhan adalah rezeki.
Kali ini, penumpang Kristian berdoa mengikut cara masing-masing. Ada penumpang Cina sedang menangis. Ada saya nampak seorang lelaki Melayu juga menangis.
Saya pun nak menangis. Tapi saya tahan. Badan saya tak berhenti menggeletar. Jantung saya macam nak pecah. Agaknya mesti pucat muka saya kerana saya lihat tangan saya putih tak ada darah.
Kali ke-empat, kapal terbang bergoncang lagi. Berkali-kali kapal terbang cuba masuk ke ruang udara Brunei tapi gagal, kerap kali diserang ribut.
Selepas 40 minit berlegar di udara dan berperang dengan ribut. Malah 2 kali kapal seolah-olah hampir terjunam, kapal terbang mengeluarkan roda ingin mendarat.
Pendaratan dilakukan dalam keadaan sangat bahaya. Sangat tak stabil dan masih terhuyung hayang ketika menghampiri darat. Akhirnya roda terhentak kuat, semua orang terjerit kecil.
Dan alhamdulillah kami selamat. Kapten Najib terus berucap sambil mengucapkan alhamdulillah. Mendengar 'alhamdulillah' keluar dari kapten, saya dan penumpang lain hampir menitiskan air mata.
Kami semua lega dan bersyukur. Muka masing-masing pucat.
Mak, nomi lupa nak minta maaf. Status akhir nomi tadi nomi hanya cakap nomi sayang mak. Tadi nomi ingat nomi tak sempat minta maaf dengan mak. Mak, maafkan semua salah nomi dan halalkan susu mak dan segala apa yang mak pernah bagi pada nomi.
Dan mohon maaf buat semua sahabat.
Brunei ribut. Tempahan hostel dibatalkan kerana Kg Ayer juga terjejas dengan ribut. Sana sini pokok tumbang. Maaf nanti saya 'update' lagi.
Gambar di bawah diambil orang Brunei dari arah offshore di ruang laut Brunei. Kami berada dalam awan itu tadi. - Dari status FB Normi Binti Ahmad Shafie
Penumpang Cerita Detik Kapal Terbang Tempuh Ribut Di Brunei
Reviewed by Admin
on
6:34:00 PG
Rating: