Luahan Hati Aney Azura ‘Lima Tahun Beraya Bersama Mayat’



BUKAN semua orang boleh dan sanggup melakukan tugas ini. Setiap hari terpaksa berdepan dengan mayat untuk dibedah. Untuk tujuan bedah siasat bagii mengetahui punca kematian.

Ada ketika, bukan semua keadaan mayat itu sempurna sebaliknya ada yang hancur akibat kemalangan yang dialaminya.

Namun bagi, jururawat terlatih di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Aney Azura M Salih, 41, dia seperti alah bisa tegal biasa dengan mayat.

Baginya apa yang menguatkannya ketika berdepan dengan sekujur tubuh kaku itu adalah niatnya iaitu ingin membantu keluarga mencari punca kematian si mati.

“Alhamdulillah sepanjang saya bertugas dengan mayat ini, saya tidak pernah ‘diganggu’. Amalan saya ketika memulakan tugas saya akan baca al-Fatihah, ayat Kursi dan surah-surah ‘empat kul’…

“Apa yang penting adalah niat kita hendak bantu arwah untuk dapatkan sebab kematian daripada awal hingga akhir, kita kalau boleh tidak mahu apa-apa kelewatan itu sahaja.


“Ketika pengalaman pertama berdepan dengan mayat, saya bertekad dalam hati: kalau dapat kes busuk ke apa, saya akan tetap hadapi…Memang mula-mula tidak dapat tahan tetapi bila niat kita ikhlas, Insya-ALLAH kerja ini mudah dilakukan.

“Bagi saya kerjaya ini memang satu cabaran besar, bukan ramai orang yang di luar sana yang hendak kerja seperti ini…sebab bila saya tanya kawan-kawan di bahagian lain, mereka pun tidak mahu bertugas di jabatan ini.

“Cuma pesanan saya kalau hendak kerja di bidang ini jiwa kena kental!” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui di HKL, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai kerjanya, Aney berkata antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya adalah ketika dia menjalankan bedah siasat ke atas mayat seorang bayi.

“Kes seorang bayi yang dipotong kepalanya adalah antara kes yang saya ingat sampai sekarang. Kes itu betul-betul menyentuh perasaan saya,” katanya lagi.

Sementara ketika ditanya tentang bagaimana dengan kerjanya ketika sambutan hari raya Aidilfitri, Aney berkata sudah lima tahun dia bertugas ketika Aidilfitri.

“Sudah tugas kita, terima sahajalah. Cuma waktu bertugas di Aidilfitri itu suasana raya itu tetap ada sebab masing-masing kawan yang lain akan bawa juadah raya di pejabat. Jadi tidaklah sepi dan sedih sangat.

“Tetapi tahun ini, giliran saya beraya di kampung pula,” katanya.

Dalam pada itu, Aney berkata, pernah satu ketika dahulu mengurus mayat orang ternama pada hari raya.

“Kejadian itu memang ‘dahsyat’. Kes itu menjadi tumpuan seluruh negara, bayangkan hari kedua saya terpaksa ke Johor untuk mendapatkan DNA emak si mati bagi mengetahui punca sebenar kematian.

“Alhamdulillah walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan ketika itu, saya dapat tempuhinya dengan baik…Cuma pesanan saya kepada masyarakat di luar sana jangan ‘taboo’ dengan pekerjaan kami,” katanya.

Unit Forensik HKL menerima secara purata 20-25 mayat sehari. Ketika proses bedah siasat dilakukan sekurang-kurangnya empat orang kakitangan akan bertugas dan mereka akan diketuai oleh seorang doktor. lapor Sinar Online.

Luahan Hati Aney Azura ‘Lima Tahun Beraya Bersama Mayat’ Luahan Hati Aney Azura ‘Lima Tahun Beraya Bersama Mayat’ Reviewed by Admin on 7:22:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.