Jom Lihat Terowong Banjir Terpanjang Di Malaysia



KANGAR 8 Sept. - Terowong laluan air sepenuh masa batu kapur sepanjang 756 meter di Tebing Tinggi di sini, satu daripada komponen utama Projek Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh, mencatat rekod kerana terpanjang di negara ini sekali gus bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di Perlis pada masa depan.

Ini disebabkan pembinaan terowong yang menelan kos lebih RM56 juta dan kini sudah hampir 70 peratus siap itu, boleh dilalui oleh bot-bot kecil atau digunakan untuk aktiviti rekreasi tertentu ekoran hanya tiga perempat sahaja di dalamnya akan dipenuhi air.

Antaranya aktiviti rekreasi se­perti menyusuri sungai, berkayak dan berenang secara maraton.

Projek pembinaannya yang menggunakan kepakaran daripada sebuah syarikat dari China juga dianggap unik kerana ditebuk hanya daripada satu laluan iaitu dari arah Kampung Wai sehingga ke Tebing Tinggi, ekoran beberapa faktor termasuk jarak sungai yang terlalu hampir di Tebing Tinggi.

Berbanding terowong-terowong lain yang dibina di seluruh dunia, laluan ditebuk dari kedua-dua arah dan bertemu di bahagian tengah terowong.

Terowong tersebut juga disifatkan sebagai antara yang tercantik kerana terletak di dalam banjaran batu kapur terpanjang di negara ini dan berusia lebih 500 juta tahun selain menganjur sehingga ke selatan Thailand.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Zainor Rahim Ibrahim berkata, projek pembinaan terowong itu berjalan lancar mengikut jadual dan dijangka siap pada Disember ini.

“Sekiranya siap, ia boleh mengatasi sebahagian besar masalah banjir di Perlis,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pembinaan terowong tersebut, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah 1 (Sektor Bisnes) JPS, Datuk Ir. Mohd. Abdul Nasir Bidin dan Pengarah JPS negeri, Ir. Abdul Najib Abdullah.

Terdahulu Zainor Rahim merasmikan majlis meletupkan bahan letupan di laluan masuk terowong di Tebing Tinggi sebagai upacara simbolik penemuan ‘jalan keluar’.

Beliau memberitahu, Projek Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh yang menelan kos keseluruhan RM260 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2016 dan pada masa ini, beberapa komponen utamanya masih berjalan antaranya pembinaan jambatan dan empangan. - Utusan

Jom Lihat Terowong Banjir Terpanjang Di Malaysia Jom Lihat Terowong Banjir Terpanjang Di Malaysia Reviewed by Admin on 8:39:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.