Para finalis Super Spontan (belakang, dari kiri) Tauke, Ropie, Rahim dan Suhaimi. (Depan, dari kiri) Zizan dan Johan.
KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan Razak menyambut gelaran juara Super Spontan dengan reaksi sebak pada pertandingan akhir yang berlangsung di Kompleks Studio Merdeka Finas, di sini, malam Jumaat.
Zizan menang dengan 48.7 peratus undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) penonton dan membawa pulang wang tunai RM100,000 serta sebuah Toyata Camry 2.0G.
Tempat kedua pula berpihak kepada Johan dengan 45.4 peratus undian dan memenangi RM50,000 dan trofi.
Tauke (3.3 peratus) berada di tangga ketiga dengan wang kemenangan RM25,000 dan trofi.
Mengulas mengenai reaksinya yang beremosi ketika diumumkan juara sulung program itu, Zizan mengakui terkejut dengan rezeki tersebut.
“Bagi saya yang sudah berpengalaman dengan program berasaskan undian, kemenangan ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan.
“Undian boleh berubah dan bergantung kepada kuasa penonton. Saya tak terfikir akan menang sebab itu saya sebak apabila diumumkan sebagai pemenang,” katanya ketika ditemui pada sidang media program itu di sini.
Zizan sebak dinobatkan sebagai juara Super Spontan musim pertama.
Tiga lagi finalis iaitu Rahim (1.2), Ropie (0.8) dan Suhaimi (0.4) masing-masing menerima hadiah sagu hati sebanyak RM5,000 dan trofi.
Malam akhir itu menyaksikan persaingan secara individu berbanding persaingan di antara dua kumpulan, Angsa Ganas dan Beruang Comel sebelum ini.
Zizan, Suhaimi dan Tauke mewakili Angsa Ganas manakala Beruang Comel membariskan Johan, Ropie dan Rahim.
Ditanya mengenai populariti dirinya yang memberikan kelebihan sehingga menjadi juara, Zizan berkata ia bukan jaminan atau jalan mudah kepada kemenangan tersebut.
“Tidak boleh cakap juga populariti saya memberikan kelebihan untuk menang kerana pada sebelum ini banyak kali juga kumpulan Beruang Comel memenangi undian mingguan kerana komedi mereka.
“Saya percaya undian penonton bergantung kepada tahap kelucuan aksi spontan peserta. Apa pun, saya harus berterima kasih kepada peminat saya dan Jozan atas sokongan mereka,” katanya yang turut mendedikasikan kejayaan itu kepada Johan.
Johan yang bergelar naib juara berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk bergelar juara dalam sesuatu pertandingan atau acara yang membabitkan undian SMS.
Namun, katanya dia percaya turut mempunyai peluang untuk merebut tempat di antara tangga kedua dan seterusnya.
Johan bergelar naib juara.
“Bagi saya sokongan penonton sama ada menerusi undian atau dengan tepukan pada persembahan saya sekali pun adalah memadai.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk bergelar juara apabila sesuatu pertandingan atau acara membabitkan undian SMS tetapi saya percaya peluang untuk berada di antara naib juara hingga tempat ke-10 itu ada,” katanya.
Berada di tangga ketiga, Tauke berkata dia hanya mampu memanjatkan kesyukuran di atas undian dan sokongan peminat kerana tidak menyangka akan bersaing di pentas akhir.
“Saya amat bersyukur berada di tempat ketiga. Malah, saya dan rakan-rakan lain harus berterima kasih kepada Jozan kerana penyertaan mereka melonjakkan lagi publisiti program ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Warna Bob Azrai berkata, respons positif penonton terhadap program itu melayakkan ia dilanjutkan untuk musim kedua pada tahun depan.
“Berdasarkan respons penonton, memang logik jika ia disambung untuk musim kedua. Malah, kami baru saja dapat pengesahan program ini akan dilanjutkan ke musim kedua. Kita akan umumkan butirannya nanti,” katanya.
Sebanyak lima segmen permainan dipertandingkan iaitu Beku, Sketsa Dari Topi Puaka, Pilihan Lain, Ciptaan dan Laguku Untukmu.
Tauke bersyukur dipilih sebagai tempat ketiga.
Pada akhir program, sumbangan RM5,000 diberikan kepada mangsa simbah asid iaitu Mohd Rafi Abdul Latiff, 28, bagi meringankan beban untuk belanja rawatan pemulihannya.
Hadiah disampaikan oleh Naib Presiden Bahagian Perniagan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani.
Diacarakan oleh Adibah Noor, malam akhir itu turut diterajui Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik dan Amir (Raja Lawak) selaku pengulas.
Pentas akhir Super Spontan disiarkan secara langsung pada Jumaat pukul 10 malam menerusi tiga saluran serentak iaitu Astro Warna (saluran 132), Astro Mustika HD (saluran 134) dan SingTel Mio TV di Singapura.
Kemeriahan pertandingan akhir itu dimulakan dengan segmen Ramalan Super Spontanpada pukul 10 malam selama setengah jam kelolaan Datuk AC Mizal.
Ia berlangsung selama 10 minggu sejak 30 Mac lalu. - mStar
Zizan Juara Super Spontan Musim Pertama
Reviewed by Admin
on
11:07:00 PG
Rating: