Rumah Pusaka Tinggal Tangga


KEMAMAN: Bagaikan tsunami kecil apabila sebuah rumah dihanyutkan arus sejauh hampir 100 meter dan hanya meninggalkan tangga di kediaman asal seorang buruh yang dilanda banjir di Kampung Air Putih, Chukai, dekat sini.

ABDUL Azam menerima bantuan daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Mohamad. FOTO Hariz Mohd

Abdul Azam Mat Aris, 54, kini bukan sekadar hanya tinggal sehelai sepinggang malah sudah tidak berbumbung lagi apabila air naik mendadak sehingga meranapkan rumah pusaka didiaminya, sejak berusia lapan tahun.

"Ketika kejadiaan saya sedang minum di sebuah kedai makan berhampiran dan dikejutkan orang ramai memberitahu air Sungai Kemaman naik mendadak sehingga melimpah ke kampung kami.

"Dalam kekalutan menyelamatkan diri, saya tidak terfikirkan rumah dan hanya fikir mahu selamatkan diri dengan berlari ke tempat tinggi di sekolah meredah banjir setinggi paras pinggang," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun terkilan kerana gagal menyelamatkan barangan di rumah yang dihuni seorang diri itu, dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri.

Katanya, dia kini buntu memikirkan masa depannya, apatah lagi tinggal sebatang kara tanpa mempunyai pendapatan tetap dan masih tinggal di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih, dekat sini.

Sementara itu, tinjauan ke kampung berkenaan mendapati, ramai penduduk yang mula pulang ke rumah bergotong-royong membersihkan kediaman masing-masing.

Pelbagai barangan seperti peralatan elektrik, perabot, kenderaan dapat dilihat jelas terdampar di segenap ceruk kampung dan diselaputi lumpur serta rosak.

Meskipun letih mengemas rumah, senyuman masih terukir di bibir penduduk di beberapa kampung berhampiran yang terjejas akibat banjir antaranya Kampung Air Putih, Kampung Teladas dan Kampung Pasir Gajah.

Harian Metro

Rumah Pusaka Tinggal Tangga Rumah Pusaka Tinggal Tangga Reviewed by Admin on 10:47:00 PG Rating: 5
Dikuasakan oleh Blogger.